Perdana Menteri Sudan letak jawatan

- Advertisement -

KHARTOUM: Perdana Menteri Sudan, Abdalla Hamdok mengumumkan peletakan jawatannya pada Ahad (2 Jan) kira-kira enam minggu selepas kembali mentadbir negara yang sedang bergolak itu.

Pengumuman itu dibuat selepas tiga penunjuk perasaan dibunuh oleh pasukan keselamatan Sudan semasa tunjuk perasaan anti-rampasan kuasa  di sini pada Ahad.

- Advertisement -

Dalam ucapan di televisyen ketika mengumumkan peletakan jawatannya, Hamdok berkata, beliau berundur untuk memberi laluan kepada ‘anak-anak bangsa’ negara itu bagi menggantikan beliau.

Hamdock, 66, turut memuji rakyat Sudan atas kesungguhan mereka dalam menuntut kebebasan dan keadilan semasa protes, sambil menambah bahawa negara itu pasti akan mempunyai masa depan yang lebih baik dengan semangat revolusi berkenaan.

“Perlu disebut di sini bahawa penerimaan saya terhadap tugas sebagai perdana menteri pada Ogos 2019 adalah atas dasar dokumen perlembagaan dan konsensus politik antara komponen awam dan tentera. 

“Namun, ia tidak dapat bertahan dengan tahap komitmen dan keharmonian yang sama seperti mana ia bermula,” ujarnya.

Sudan telah diperintah oleh pakatan antara tentera dan kumpulan awam sejak 2019. Namun pada 25 Oktober 2021,  Hamdok diguling dan diletakkan bawah tahanan dalam rumah susulan rampasan kuasa oleh tentera Sudan.

Beliau kemudian kembali menyandang jawatan itu pada November lalu melalui perjanjian dengan pemimpin tentera.

Bagaimanapun, perjanjian berkenaan dikecam ramai pihak dalam pakatan awam yang menyokong beliau sebelum itu, serta oleh penunjuk perasaan yang terus mengadakan bantahan terhadap pemerintahan tentera.

Khamis lalu, enam dilaporkan maut dan ratusan lagi cedera dalam tunjuk perasaan di seluruh negara. Sekurang-kurangnya 56 orang lagi menjadi korban dalam protes sejak rampasan kuasa pada 25 Oktober 2021. – CNN

- Advertisement -