Mesin penguli roti gembirakan asnaf

- Advertisement -

KLUANG: Lajnah Kebajikan Muslimat PAS Kawasan Kluang bersama Skuad Prihatin Muslimat PAS Negeri Johor telah menyerahkan mesin penguli roti kepada seorang asnaf, di sini semalam.

Projek mengumpul dana bagi membeli mesin itu dijalankan bagi meringankan beban peniaga roti canai, Zulkimi Muhammad dalam membantu beliau yang berusaha mencari pendapatan tetap.  

- Advertisement -

Bagaimanapun kempen ini ditamatkan kerana ada penyumbang yang memberikan mesin miliknya di mana menurut penyumbang berasal dari Muar, Naja Lyana Umairah Najmi, mesin diberikan itu merupakan kepunyaan ayahnya.

“Mesin ini kepunyaan ayah, tetapi sudah tidak digunakan lagi kerana ayah telah berpindah ke Kuala Lumpur,” ujar beliau.

Pengerusi Lujnah Kebajikan Muslimat PAS Kluang, Sapiah Omar menyifatkan sumbangan tersebut sebagai pemangkin semangat kepada Zulkimi untuk menggiatkan lagi perniagaannya.

“Muslimat Kluang komitmen untuk membantu asnaf dan sumbangan ini sebagai pemangkin semangat kepada beliau supaya dapat bekerja dengan lebih baik.

“Kami juga akan merancang pelbagai aktiviti bagi membantu meringankan beban asnaf lain di Kluang ini,” ujar beliau.

Zulkimi yang memiliki lapan tanggungan sebelum ini hanya menyewa meja untuk menebar dan menjual roti canai dan salah seorang anak beliau merupakan guru PASTI Kluang.

Turut hadir Timbalan Ketua Muslimat PAS Kluang, Siti Hawa Mahmud serta Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Muslimat PAS Johor, Normaya Salam. – HARAKAHDAILY 3/1/2022

- Advertisement -