Indonesia tegas tidak benarkan pelarian Rohingya mendarat

- Advertisement -

BIREUEN, ACEH: Pihak berkuasa Indonesia akan menolong membaiki bot rosak yang sarat dengan pelarian Rohingya berhampiran pantai di sini, tetapi tidak akan membenarkan pelarian mendapatkan perlindungan di negara itu, malah menghalau bot itu.

Nelayan tempatan mengesan bot yang membawa kira-kira 120 pelarian lelaki, wanita dan kanak-kanak pada Ahad lalu, hanyut berdekatan pantai di sini.

- Advertisement -

“Rohingya bukan warga Indonesia, kami tidak boleh membawa mereka ke sini walaupun mereka adalah pelarian. Ini sejajar dengan dasar kerajaan,” kata pegawai tentera laut Indonesia, Dian Suryansyah.

Bagaimanapun, katanya pihak berkuasa akan menyediakan bantuan kemanusiaan seperti makanan, air dan ubat-ubatan, sebelum kapal itu dihalau.

Indonesia seperti beberapa negara Asia Tenggara lain seperti Malaysia, tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951 dan dilihat sebagai negara persinggahan kepada mereka yang mahu mendapatkan suaka di negara ketiga.

Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dalam kenyataan semalam, menyatakan bot itu mengalami kerosakan enjin dan pelarian perlu dibenarkan mendarat.

“UNHCR prihatin terhadap nyawa dan keselamatan pelarian dalam bot itu,” kata kenyataan itu.

Pelarian Rohingya dalam bot rosak di luar pantai Aceh, Indonesia

Bagaimanapun, kehadiran bot yang membawa pelarian turut dipercayai didalangi kegiatan sindiket yang antara taktik digunakan ialah sengaja merosakkan bot supaya pihak berkuasa negara di Asia Tenggara, terpaksa mengambil pelarian.

Pemimpin komuniti nelayan tempatan, Badruddin Yunus, berkata pelarian dipercayai berada di laut selama 28 hari dan sesetengah mereka tidak sihat dan terdapat seorang pelarian yang mati.

Pelarian Rohingya dari Myanmar, akan menaiki bot menuju ke negara Asia Tenggara antara November hingga April ketika keadaan laut tidak bergelora. Sesetengah bot tidak dibenarkan mendarat walaupun dirayu pertubuhan hak asasi antarabangsa.

Lebih 730,000 Rohingya melarikan diri ke Bangladesh sejak Ogos 2017 selepas pihak tentera Myanmar melancarkan operasi keganasan, termasuk membunuh dan merogol dengan alasan untuk mematahkan pemberontakan etnik berkenaan.

Ribuan pelarian menaiki bot dari Bangladesh menuju ke negara Asia Tenggara dengan harapan mendapat suaka di negara ketiga, manakala Malaysia menjadi tumpuan kerana komuniti Rohingya sedia ada yang agak besar di negara itu. – REUTERS

- Advertisement -