Tahu

- Advertisement -

TIDAK semua yang orang tahu, kita juga tahu. Dan tidaklah juga semua perkara yang kita tahu, orang lain pun tahu. Memang sifat manusia begitu, lemah, banyak yang tidak tahu. Yang jadi masalah, apabila berlagak semua tahu, sedangkan dia tahu, orang lain tahu yang dia tidak tahu. Berdegil pula dia tidak mahu mengaku yang dia tidak tahu. Jenis begini, kita boleh tahu siapa.

Cerdik pandai memberitahu, manusia ini menjadi musuh kepada apa yang dia tidak tahu. Ya, kita tahu dan setuju. Sesetengah orang, dia tidak tahu apa yang dia tidak tahu. Oleh itu, dia jadi keliru. Kadang dia tidak tahu apa yang dia tahu. Ada juga dia tahu yang dia tidak tahu, diapun bertanya. Hanya yang terbaik ialah dia tahu yang dia tahu dan dia tahu secara betul. Namun paling bahaya, dia lawan apa yang benar, sama ada kerana tidak tahu atau dia sengaja buat tidak tahu.

- Advertisement -

Menjadi masalah apabila dia tahu, tetapi tidak mahu memberitahu apa yang sepatutnya orang lain juga perlu tahu. Iaitu dia sembunyikan apa yang dia tahu. Memeningkan lagi apabila dia memberitahu pula apa yang tidak perlu orang lain tahu. Mungkin dia tidak tahu apa yang patut untuk diberitahu. Yang mendengarnya pula, suka juga ambil tahu apa yang tidak guna dia tahu.

Inilah kelemahan manusia, sebab suka ambil tahu apa yang tidak disuruh untuk mereka ambil tahu. Dek kerana sikap terlalu mahu tahu, maka Adam dan Hawa telah tersilap dan dikeluarkan dari syurga, melanggar arahan supaya jangan mendekati buah yang mereka sudah tahu, Allah larang untuk diambil tahu. Syaitan gunakan sikap terlalu ingin tahu manusia sebagai jalan dosa. Syaitan tahu kelemahan manusia. Manusia juga tahu kelemahan mereka itu, tetapi selalu lupa.

Manusia di dunia ini pula, meneruskan sikap ingin tahu Adam dan Hawa terhadap apa yang mereka dilarang untuk tahu itu. Akhirnya hal aib orang mereka ambil tahu, hal agama yang mereka tidak tahu, mereka buat-buat tahu serta macam-macam lagi. Dan timbullah golongan ‘palatau’ iaitu mereka yang buat-buat tahu segala benda sehingga menyusahkan orang yang tahu. Orang ramai jadi keliru, sebab tidak tahu mana yang patut mereka tahu.

Sewajibnya mereka mendengar dari orang yang tahu, supaya mereka benar-benar tahu dan bukan buat-buat tahu. Tahu sebegini hanya kita akan jumpa datang dari golongan yang tahu agama dan tahu juga beramal dengan ilmu agama yang mereka tahu itu. Maka tahu ini akan menyelamatkan manusia dari api neraka yang manusia tahu azabnya. Akhirnya kita jadi waspada dengan apa yang kita tahu, kerana kita tahu, apa yang kita buat, semuanya Allah tahu.

Jangan bersedih jika kita lakukan kerja, tetapi tiada orang tahu sebab kita tahu kerja mulia yang kita lakukan itu. Orang tidak tahu mungkin kerana betul-betul tidak tahu. Dan mungkin juga kerana dibuat-buat tidak tahu untuk diamkan. Sebab mereka tahu jika orang tahu kerja mulia kita itu, maka kita akan mendapat kelebihan. Mereka tahu, ini tidak bagus untuk mereka. Oleh itu, kebaikan kita, jangan sampai orang tahu.

Tidak perlu risau jika kita dapat tahu orang lain yang dipuji orang kerana kerja mereka. Kita juga perlu tahu, ia mungkin strategi untuk elakkan orang tahu kerja mulia kita itu. Kitakan tahu bahawa Allah Maha Tahu. Jadi kita tahu, pujian manusia tiada siapa yang tahu ikhlas atau tidak. Dan semua tahu yang pujian manusia bukan syarat untuk masuk syurga. Jadi jika kita sudah tahu begitu, buat tidak tahu sahajalah walaupun kita tahu orang lain yang dapat pujian. Jangan dikejar pujian manusia itu, tahu?

Kita tahu alam ini sungguh luas. Manusia tidak mampu untuk tahu semua perkara. Apa yang manusia tahu hanyalah bagai setitis air di hujung jari dari lautan, sekadar itu Allah beri untuk manusia tahu. Jadi apa yang mahu kita bimbangkan jika ada yang berlagak tahu, melebihi apa yang sepatutnya mereka tahu? Tidak kita tahu apa niat mereka. Lebih lagi, kita tahu mereka tidak tahu dan mereka tidak akan tahu melebihi apa yang Allah tetapkan untuk mereka tahu.

Kita semuakan tahu semua ini aturan Allah. Tidak perlu takut orang tahu atau tidak tahu, asal Allah tahu. Tetapi kenapa kita bertindak macam tidak tahu? Atau kita buat-buat tidak tahu?

MOHD NASIR ABDULLAH – HARAKAHDAILY 29/12/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -