365 kes baharu Covid-19, 134 kes varian Omicron

- Advertisement -

SINGAPURA: Sebanyak 365 kes baharu Covid-19 dilaporkan berlaku di negara ini, termasuk jumlah rekod 172 kes import setakat tengah hari semalam.

Bagaimanapun, tiada kematian dilaporkan dengan angka kematian keseluruhan kerana komplikasi coronavirus kekal sebanyak 825 kes.

- Advertisement -

Mengikut laman sesawang Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura, semalam juga adalah hari kedua sejak 19 September lalu, tiada kes kematian baharu Covid-19 dilaporkan.

Jumlah kes semalam meningkat daripada 280 jangkitan yang dilaporkan pada hari Isnin. Ia juga adalah bilangan jangkitan baharu keseluruhan tertinggi dilaporkan di negara ini sejak 412 kes baharu pada 17 Disember lalu.

Daripada jumlah kes baharu yang dilaporkan semalam, 192 kes adalah jangkitan tempatan merangkumi 191 kes dalam kalangan masyarakat dan satu kes membabitkan asrama pekerja asing.

Laman sesawang MOH turut menyatakan bahawa 134 jangkitan varian Omicron baharu disahkan semalam, iaitu 94 kes import dan 40 kes tempatan.

Kadar pertumbuhan jangkitan mingguan semalam, iaitu 0.67, juga adalah yang tertinggi sejak 3 Disember, iaitu 0.71. Angka ini merujuk pada nisbah kes masyarakat sepanjang minggu lalu, berbanding minggu sebelumnya.

Kadar pertumbuhan kekal pada paras bawah angka 1 sejak 13 November, bermakna bilangan kes Covid-19 mingguan yang baru berkurangan.

Sehingga semalam, Singapura melaporkan 278,409 kes Covid-19 sejak pandemik ini bermula tahun lalu.

Sementara itu, kadar penggunaan Unit Rawatan Rapi (ICU) ialah 49.1 peratus, menurun daripada 49.3 peratus yang dilaporkan pada Isnin.

Bilangan pesakit yang masih di rawat di hospital ialah seramai 303 orang dengan 43 daripada mereka memerlukan sokongan oksigen. Di ICU, enam pesakit memerlukan pengawasan rapi, manakala 17 orang sakit tenat.

Sehingga Isnin lalu, 91 peratus penduduk Singapura yang layak, mendapat vaksinasi lengkap di bawah Program Vaksinasi Kebangsaan. Angka ini sudah dikemas kini membabitkan kanak-kanak berumur antara lima hingga 11 tahun selepas vaksinasi bagi kelompok usia itu bermula Isnin lalu.

Kira-kira 38 peratus penduduk Singapura juga sudah menerima suntikan vaksin penggalak. – CNA

- Advertisement -