Raja Muda Perlis bangga wanita jadi usahawan

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

ARAU: Golongan wanita terbukti lebih ramai mencuba untuk meningkatkan taraf kehidupan keluarga masing-masing dengan menceburi bidang perniagaan.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, bertitah ramai usahawan wanita yang disegani boleh dijadikan sumber inspirasi bagi wanita lain.

- Advertisement -

“Mereka berjaya menjadi perangsang kepada wanita lain untuk menjana pendapatan, selain membentuk jati diri wanita yang mantap serta menjamin kehidupan dengan memiliki wang saku sendiri.

“Kini pelbagai peluang serta kesedaran diberikan di media sosial sehingga menarik minat wanita menceburi bidang perniagaan.

“Bermula dengan menjadi ejen produk, kemudian menyertai pelbagai program kerajaan bagi menambah ilmu perniagaan, wanita kini semakin berani memajukan perniagaan tanpa mengabaikan tugas hakiki sebagai ibu dan isteri,” titah Baginda selepas berkenan berangkat merasmikan perniagaan makanan dan minuman Selera Mak Lang Nasi Campur, baru-baru ini.

Restoran di pekarangan Masjid Al-Barakah Kampung Jelempok di sini, diusahakan oleh Basah Mat Ali, 63, sempena program Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs) Peduli.

Basah sebelum ini pernah menerima sumbangan MAIPs melalui inisiatif Projek Peningkatan Sosioekonomi Asnaf MAIPs.

Tuanku Raja Muda bertitah, melalui aktiviti perniagaan juga, golongan suri rumah secara tidak langsung dapat meningkatkan pendapatan keluarga walaupun berdepan kejatuhan ekonomi ketika pandemik Covid-19.

“Islam memang memandang tinggi darjat wanita sehingga terdapat satu surah khusus untuk wanita dalam al-Quran.

“Saidatina Khadijah, seorang usahawan wanita yang berjaya menambat hati Rasulullah SAW menjadi inspirasi bahawa golongan hawa juga mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan kaum Adam dalam bidang perniagaan,” titah Baginda. – HARAKAHDAILY 27/12/21

- Advertisement -