Cara kreatif perlu untuk tingkat pendapatan negara

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Usaha menambah pendapatan negara perlu lebih kreatif seperti cara mantan Ketua Pengarah Jabatan Hasil Dalam Negeri, Datuk Hassan Ibrahim, yang berjaya meningkatkan kutipan cukai pendapatan negara pada era 1980-an.

Senator Mohd Apandi Mohamad berkata, ketika Hassan dilantik memegang jawatan itu pada tahun 1985 atau 1986, jabatan berkenaan (kini Lembaga Hasil Dalam Negeri), sebahagian besar kutipan cukai adalah daripada golongan bergaji tetap, sama ada di sektor kerajaan atau swasta.

- Advertisement -

Katanya, banyak sektor ekonomi ketika itu mengalami ketirisan kerana tidak dikenakan cukai, namun keadaan berubah hasil kecerdikan Hassan yang menggunakan strategi baharu yang kreatif.

“Beliau sanggup menyamar dan duduk sehari suntuk di restoran. Ini membolehkannya mengetahui jumlah keuntungan pada hari itu dan jumlah itu dikali dengan jumlah tertentu untuk mengetahui cukai yang patut dikutip.

“Hasil siasatan itu, jumlah kutipan cukai kerajaan meningkat berlipat kali ganda kerana sebelum itu, peniaga tidak membayar cukai. Semua ini adalah hasil inisiatif beliau,” katanya ketika perbahasan Rang Undang-Undang Kewangan 2021 di Dewan Negara, hari ini.

Mohd Apandi berkata, perbelanjaan negara kini semakin tinggi setiap tahun dengan jumlah pada tahun ini, sebanyak RM330 bilion yang digunakan untuk membayar gaji, emolumen dan pembangunan.

Pada masa sama, katanya negara menghadapi defisit RM100 bilion yang memerlukan kerajaan dan pakar ekonomi memikirkan cara untuk menambah pendapatan negara supaya defisit yang berlaku sejak tahun 1998 dapat dikurangkan.

“Kerajaan mesti memikirkan jala yang lebih besar dan jarak antara satu petak dan satu petak lain dalam jala itu semakin kecil supaya tempat yang tidak ditembusi oleh cukai dapat ditembusi untuk menambah pendapatan negara,” katanya.

Beliau mencadangkan kerajaan supaya memikirkan balik saranan yang pernah dikemukakannya di Parlimen pada tahun 2000, iaitu mengenakan cukai terhadap keuntungan hasil permainan di bursa saham.

Katanya, kerajaan masih takut berbuat demikian dengan alasan pelabur dan syarikat akan lari ke negara lain, namun jawapan itu tidak mesra terhadap sistem percukaian negara.

“Kita tengok hari ini, Elon Musk (usahawan dan Ketua pegawai Eksekutif kereta elektrik Tesla). Hasil keuntungan permainan sahamnya, beliau menyatakan komitmen membayar cukai AS$11 bilion kerana keuntungan luar biasa diperolehinya,” katanya.

Sehubungan itu, katanya sudah sampai masa kerajaan memikirkan mengenakan cukai terhadap mereka yang mendapat keuntungan hasil penjualan saham. – HARAKAHDAILY 23/12/21

- Advertisement -