Senat AS undi halang mandat vaksinasi Biden

Joe Biden menyampaikan ucapan mengenai manfaat vaksin Covid-19 untuk kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun di Auditorium Mahkamah Selatan Bangunan Pejabat Eksekutif Eisenhower di White House, Washington, Amerika Syarikat pada 3 November 2021. (FOTO REUTERS)
- Advertisement -

WASHINGTON: Senat Amerika Syarikat pada Rabu (8 Nov) mengundi untuk menyekat mandat vaksin atau ujian pengesanan Covid-19 yang dikemukakan Presiden, Joe Biden untuk dikenakan terhadap majikan syarikat-syarikat swasta gergasi di negara itu.

Undian senat Republikan dan Demokrat adalah pada 52-48 yang menyaksikan undian bagi menyekat mandat Biden adalah daripada kesemua 50 ahli parti Republikan di dewan atasan dan dua ahli Demokrat berpusat.

Di bawah mandat Biden, kesemua syarikat swasta yang mempunyai lebih 100 pekerja diwajibkan untuk divaksin atau menjalani ujian mingguan Covid-19 mulai 4 Jan 2022. 

- Advertisement -

Penolakan Senat AS terhadap mandat Biden itu diketuai oleh ahli Republikan dari Indiana, Mike Braun, yang memberitahu media bahawa perkara itu mengancam pekerjaan rakyat AS.

Pengerusi Senat Republikan, John Barrasso dalam pada itu menuduh Biden, yang bukan seorang doktor perubatan sebagai telah melakukan ‘penyelewengan perubatan’ melalui mandatnya itu.

Salah seorang daripada dua ahli Demokrat yang berpihak kepada Republikan, Joe Manchin pula  berkata, walaupun dia menyokong mandat vaksin untuk pekerja kerajaan persekutuan dan pihak tentera, tetapi ia ‘bukan tempat kerajaan persekutuan’ untuk menentukan mengenai mandat vaksin kepada syarikat-syarikat perniagaan swasta.

“Kita harus memberi insentif, bukan menghukum majikan swasta untuk menggalakkan vaksinasi dalam kalangan pekerja mereka,” tegas Manchin dalam satu kenyataan, lapor Reuters.

Dalam pada itu, Pemimpin Senat Demokrat, Chuck Schumer menyamakan ahli politik Republikan dengan ahli teori yang mendakwa bumi ini rata dan menuduh mereka yang telah mendapatkan suntikan vaksin untuk diri mereka sendiri sebagai hipokrit.

“Perkara terbesar yang menghalang daripada berakhirnya wabak Covid-19 adalah daripada rakyat Amerika yang enggan mendapatkan vaksin,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/12/2021

- Advertisement -