Pelepasan gas rumah kaca sifar seawal 2050

Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man
- Advertisement -

Oleh SRIHAYANIS ABASRI

KUALA LUMPUR: Malaysia menetapkan aspirasi untuk mencapai sasaran Pelepasan Gas Rumah Kaca (GHG) sifar bersih seawal-awalnya pada tahun 2050.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata aspirasi itu diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Parlimen, September lalu.

- Advertisement -

Katanya, pencapaian aspirasi itu tertakluk kepada penyediaan Strategi Jangka Masa Panjang Pembangunan Rendah Karbon (LT-LEDS) yang akan dimuktamadkan pada tahun hadapan.

“LT-LEDS akan menggariskan strategi dan tindakan bagi mitigasi pelepasan GHG bagi sektor ekonomi utama negara seperti yang dilaporkan dalam Laporan Pengemaskinian Dwitahunan 1, 2 dan 3,” katanya ketika menjawab soalan lisan Senator Aknan Ehtook di Dewan Negara, hari ini.

Tuan Ibrahim berkata, lima sektor berkenaan ialah sektor tenaga yang meliputi aktiviti pembekalan elektrik, pengangkutan, industri minyak dan gas asli.

Menurutnya, sektor kedua ialah pembuatan dan pemprosesan yang meliputi industri seperti mineral (simen, kapur, batu kapur), kimia, logam (seperti besi dan keluli, aluminium dan elemen nadir bumi, produk bukan tenaga berasaskan bahan api dan bahan pelarut, elektronik dan pengganti bahan fluorin bagi ODS (pengganti bahan penipis lapisan ozon).

Katanya, tiga sektor lain ialah pertanian (seperti penanaman padi, ternakan dan pembajaan), sektor guna tanah, perubahan guna tanah dan perhutanan (seperti komoditi, perhutanan dan penyahhutanan) dan sektor sisa (seperti sisa pepejal, sisa kumbahan domestik dan sisa kumbahan industri).

Bagi memastikan aspirasi negara pada tahun 2050 dapat dicapai, katanya Malaysia akan melaksanakan dasar harga karbon secara berfasa untuk menyokong usaha mengurangkan pelepasan GHG.

“Kerajaan juga berusaha mencapai kapasiti penjanaan tenaga boleh baharu sebanyak 31 peratus pada tahun 2025 dan 40 peratus pada tahun 2035 bagi grid kebangsaan melalui Pelan Peralihan Tenaga Malaysia 2021-2040 serta aspirasi sasaran perolehan 100 peratus kenderaan kerajaan yang bukan berasaskan enjin pembakaran dalaman pada tahun 2030.

“Negara juga akan mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus litupan hutan negara seperti yang diumumkan di Persidangan Bumi Rio pada tahun 1992,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata, kaedah penyelesaian berasaskan alam semula jadi juga dilakukan sebagai asas penyelesaian global bagi mengurangkan kesan jangka panjang seperti penanaman 100 juta batang pokok bermula pada tahun ini hingga 2025.

Menurutnya, inisiatif lain ialah sasaran sifar sisa yang dihantar ke tempat pelupusan sampah melalui konsep sisa kepada tenaga dan meningkatkan kadar kitar semula kepada 40 peratus pada tahun 2025;

Katanya, turut dilaksanakan ialah transformasi bandar di Malaysia ke arah pembangunan rendah karbon di bawah Pelan Induk Bandar Rendah Karbon dan meningkatkan ketahanan kepada impak jangka masa panjang perubahan iklim melalui pembangunan Pelan Adaptasi Kebangsaan. – HARAKAHDAILY 9/12/21

- Advertisement -