Kakitangan Jabatan Kastam wajib pakai kamera badan

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mewajibkan kakitangan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) memakai kamera badan sebagai antara cara untuk meningkatkan integriti dan mengelakkan dituduh terbabit dalam rasuah.

Timbalan Menteri Kewangan, Mohd Shahar Abdullah, bagaimanapun tidak memperincikan kategori kakitangan JKDM terbabit dan tarikh pelaksanaan penggunaan alat berkenaan.

- Advertisement -

“Mengaitkan rasuah dengan kakitangan JKDM sebagai punca penyeludupan rokok dan arak adalah tidak adil kerana kerajaan melakukan pelbagai pelan strategik untuk meningkatkan integriti mereka,” katanya menjawab soalan tambahan Nga Kor Ming (PH-Teluk Intan) ketika sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Penggunaan kamera badan dipersetujui oleh kerajaan pada tahun 2019, membabitkan pegawai penguat kuasa agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen dan JKDM bagi menangani kes salah laku pegawai.

Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata syor penggunaan kamera badan dipersetujui memandangkan terdapat pelbagai dakwaan salah laku pegawai ketika bertugas seperti memukul orang yang disiasat.

Bagaimanapun, katanya tarikh pelaksanaan belum diputuskan memandangkan kerana membabitkan kos kepada kerajaan.

Menjawab soalan asal, Mohd Shahar berkata, sebanyak 2,842 kes rampasan rokok dan minuman keras tidak sah bernilai RM97.34 juta dan melibatkan nilai kehilangan cukai sebanyak RM707.14 juta sepanjang tahun 2020.

Bagi tahun 2021 iaitu sehingga September pula, katanya sebanyak 2,518 kes rampasan bernilai RM41.43 juta dengan jumlah kehilangan cukai sebanyak RM281.69 juta..

Dalam usaha membendung ketirisan hasil cukai akibat aktiviti penyeludupan rokok dan minuman keras, katanya JKDM mempergiatkan kawalan dan tindakan penguatkuasaan melalui aktiviti serbuan, rondaan darat dan air, sekatan jalan raya, pemeriksaan kapal, bot atau kenderaan, selain Operasi Khas serta Operasi Outlet Rokok dan Minuman Keras.

Ketika pandemik Covid-19, katanya usaha menangani aktiviti penyeludupan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa melalui pelbagai strategi.

“Ini termasuk menyertai Operasi Portcullis dengan memberi amaran kepada pihak kastam negara jiran seperti Thailand bagi membuat pengesahan dagangan eksport syarikat;

“Kerajaan juga merangka kaedah operasi yang lebih dinamik seperti Operasi Sepadu Marin Kastam mengikut tempoh masa tertentu dan memberi fokus kepada sektor operasi laut,” katanya.

Beliau berkata, Ops Benteng juga dilaksanakan melalui sekatan jalan raya bersama agensi penguatkuasa lain di sepanjang Pantai Timur Semenanjung Malaysia bagi menyekat rantaian pergerakan barangan di jajaran tersebut;

Sementara itu, katanya Ops Pacak dilaksanakan di lokasi yang dikenal pasti sebagai tumpuan panas untuk memutuskan rantaian penyeludupan.

Di setiap proses inbound dan outbound, katanya mesin pengimbas yang dikendalikan oleh pegawai JKDM atau kendalian bersama pegawai operator yang ditugaskan untuk mengesan aktiviti penyeludupan.

“Kerajaan juga menubuhkan Pasukan Petugas Pelbagai Agensi (MATF) dianggotai agensi seperti PDRM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, selain berkongsi makklumat dan menjalankan operasi bersepadu dengan pelbagai agensi penguatkuasaan dan keselamatan serta pihak industri.

“Melalui kerjasama antarabangsa, kerajaan berkongsi maklumat perisikan antarabangsa dan operasi antarabangsa berkaitan rokok,” katanya – HARAKAHDAILY 6/12/21

- Advertisement -