Surah al-Jumu’ah dan surah al-Munafiqun ketika solat Jumaat

- Advertisement -

SEPERTI yang telah direkodkan oleh Imam Muslim dan selainnya, Abu Hurairah mengkhabarkan bahawa Nabi membaca surah al-Jumu’ah ketika rakaat pertama dan surah al-Munafiqun ketika rakaat kedua dalam solat Jumaat. Dua surah ini mengandungi mesej yang besar untuk membina kefahaman masyarakat awam ketika itu.

- Advertisement -

Surah al-Jumu’ah

Surah al-Jumu’ah menekankan soal fungsi diutuskan Nabi kepada manusia supaya keluar dari kesesatan. Baginda membawa misi penyucian jiwa dan pencerahan akal fikiran agar manusia mencapai makna hikmah yang berpandukan wahyu.

Dalam surah al-Jumu’ah juga diingatkan berkenaan gejala korupsi ilmu pengetahuan yang berlaku dalam kalangan ahli kitab Yahudi. Golongan yang tidak bertanggungjawab terhadap pengetahuan agamanya Allah ibaratkan seperti keldai.

Ahli kitab Yahudi juga gemar mendakwa kononnya merekalah wali-wali Allah. Fahaman kononnya mereka sentiasa lebih istimewa dan tanggapan kononnya hanya mereka yang layak menggalas tanggungjawab agama, menyebabkan mereka terseleweng. Mereka merasakan Allah tidak akan menggantikan mereka dengan golongan yang lain. 

Di akhir surah al-Jumu’ah, Allah menjelaskan suruhan agar fokus ketika menjalankan sesi solat Jumaat. Ia hanya mengambil waktu yang sebentar, selepas itu jalanilah kehidupan seperti biasa.

Kita boleh bandingkan sejarah Bani Israel yang berhelah dengan Allah ketika mereka diperintahkan untuk beribadat pada hari Sabtu. Akibat helah tersebut, mereka disumpah menjadi kera yang dilaknat.

Surah al-Munafiqun

Jika kita memahami gimik yang dirutinkan oleh puak munafiq di masjid ketika sesi solat Jumaat, sudah pasti kita dapat bayangkan bagaimana dahsyatnya suasana ketika Nabi membacakan surah tersebut ketika itu. Orang ramai dapat menilai gejala-gejala hipokrasi.

Ibnu Ishaq menukilkan riwayat dari Ibnu Syihab al-Zuhri bahawa setiap kali waktu Jumaat, Abdullah bin Ubai akan berdiri melaung-laungkan slogan pujian ke atas Baginda. Sememangnya munafiq suka bermain slogan dan menzahirkannya secara berlebih-lebihan. Dia berteriak:

“Wahai sekalian manusia, inilah Rasulullah bersama kamu semua. Allah memuliakan dan menghebatkan kamu semua dengan adanya dia. Maka bantulah dia, dukungilah dia. Dengarlah cakapnya dan patuhilah dia.”

Sebagai respon dari hipokrasi itu, Nabi membaca surah al-Munafiqun pada rakaat kedua solat Jumaat. Waktu yang paling strategik kerana ketika itu puak munafiq tidak boleh mencelah dan memprotes. Surah al-Munafiqun juga dikenali sebagai surah al-Fadih, yang bermaksud menyingkap kemunafikan bapa munafiq itu.

Mendengar ayat pertama surah tersebut pun sudah cukup menggerunkan, kerana dengan jelas Allah membongkarkan bahawa laungan-laungan Abdullah bin Ubai itu palsu belaka dan dia adalah munafiq.

Seterusnya di akhir surah al-Munafiqun, Allah menyeru orang-orang yang beriman agar jangan lalai dengan dunia, banyakkan berinfaq dan sentiasa ingatkan mati. Tiga ingatan tersebut sebagai benteng diri dari penyakit nifaq.

Kepentingan solat Jumaat

Dua surah yang dibacakan oleh Nabi ketika solat Jumaat itu menggambarkan kepada kita akan keseriusan dan fokus Baginda dalam memandaikan umatnya. Fasa Madinah Nabi memimpin umat berdepan dengan cabaran-cabaran baharu yang tidak ada ketika mereka berada di fasa Makkah dahulu.

Serangan pemikiran masih berlangsung dengan dugaan-dugaan yang datang dari puak-puak ahli kitab. Mereka korup dari sudut ilmu pengetahuan. Begitu juga ancaman perisikan dan penyusupan dari puak munafiq juga mencirikan cabaran baharu yang hanya muncul setelah Nabi berhijrah ke Madinah.

USTAZ ABDUL MU’IZZ MUHAMMAD – HARAKAHDAILY 6/12/2021

Sumber Asal: https://m.facebook.com/100000623571778/posts/4864777920219612/

- Advertisement -