Tangguh dulu had umur 30 tahun ke bawah urus persatuan belia

Ustaz Sabri Azit
- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) perlu menangguh pelaksanaan had umur maksimum individu yang hendak memegang jawatan dalam persatuan belia yang dijadualkan dilaksanakan tahun hadapan.

Ahli Parlimen Jerai, Sabri Azit, berkata keputusan yang diumumkan pada 17 November lalu mengehadkanhad umur mana-mana individu untuk memegang jawatan dalam persatuan belia daripada 40 tahun kepada 30 tahun.

- Advertisement -

Beliau bersetuju dengan keputusan itu, namun meminta KBS mengkaji semula memandangkan pelaksanaannya memberi kesan kepada pelbagai pihak, terutama persatuan belia.

“Saya yakin persatuan belia akan terbubar jika perkara ini dilaksanakan secara mengejut dalam tempoh masa yang terlalu singkat,” katanya ketika perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Belia dan Sukan di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Sabri berkata, Undang-Undang Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 yang mengehadkan had umur belia antara 15 hingga 30 tahun, akan bermula pada 1 Januari 2022, perlu dilaksanakan secara berperingkat dan jika boleh, ditangguhkan hingga tahun 2023.

Katanya, pelaksanaan undang-undang itu boleh dibuat secara berperingkat dengan tahun hadapan sebanyak 30 peratus di kalangan umur 30 tahun ke bawah.

Untuk tahun berikut, katanya dipertingkatkan hingga 60 peratus dan pada tahun seterusnya, baharulah 100 peratus umur 30 tahun ke bawah.

“Berdasarkan pemerhatian dalam masyarakat kita, mereka yang berusia 30 tahun ke bawah masih lagi sibuk memikirkan kerjaya. Umur 31 hingga 40 tahun adalah tempoh yang kita katakan, mereka mempunyai pengalaman yang sangat luas dan stabil dalam pelbagai sisi kehidupan,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/11/21

- Advertisement -