Tolak rancangan tambakan: PAS Pulau Pinang ucap tahniah

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR: PAS Pulau Pinang menzahirkan ucapan tahniah kepada Persatuan Nelayan Negeri Pulau Pinang (Pen Mutiara) atas keputusan tepat menolak rancangan tambakan di perairan selatan (PSR) Pulau Pinang dan Bagan Ajam, Butterworth melalui resolusi Mesyuarat Agung ke-36 Pen Mutiara baru-baru ini.

Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff berkata, menerusi keputusan berkenaan, ia jelas menangkis dakwaan sesetengah pihak kononnya terdapat golongan nelayan yang menyokong projek tambak laut khususnya di PSR.

Advertisement

“Projek ini jelas akan menjejaskan periuk nasi nelayan dan keputusan yang diambil adalah selari dengan semua pihak yang mahukan PSR dibatalkan.

“Kita juga sekali lagi mengulangi pendirian untuk menolak projek tambak laut PSR yang dicadangkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang kerana banyak kesan buruk daripada manfaat yang diperolehi.

Menurut beliau lagi, tambakan laut di Pulau Pinang ini bukan sahaja mendatangkan kesan kepada nelayan di sebelah pulau malah kepada nelayan di seberang pulau.

“Kerosakan kekal akan berlaku kepada ekosistem semulajadi hidupan laut seterusnya menyebabkan berlakunya arus pasang surut yang menyebabkan kehidupan laut menjadi rosak.

“Persatuan ini bukan sahaja mempertahan hak mereka, malah mereka juga sedang mempertahankan bekalan makanan laut khususnya kepada rakyat negeri Pulau Pinang itu sendiri,” katanya.

Tegasnya lagi, segala projek tambakan laut ini bukanlah projek yang menguntungkan rakyat tetapi menyebabkan rakyat keseluruhannya menjadi mangsa.

“Nelayan hari ini telah bangkit dan sedar mempertahankan periuk nasi mereka dan mereka juga mendapat sokongan dari semua persatuan-persatuan nelayan di seluruh Pulau Pinang ini.

“Kerajaan Pulau Pinang hari ini, sedang menggiatkan aktiviti mereka berjumpa sendiri dengan nelayan bagi meneruskan agenda manipulasi mereka untuk membuat permohonan baru.

“Permohonan mereka yang dahulu sebenarnya tidak sah kerana mereka membuat permohonan dengan tidak disertakan Rancangan Struktur Negeri yang diwartakan,” katanya.

Terdahulu, Persatuan Nelayan Negeri Pulau Pinang (Pen Mutiara) sebulat suara meluluskan resolusi menolak sebarang projek tambak laut di seluruh negeri ini termasuk rancangan tambakan di perairan selatan Pulau Pinang (PSR) dan di Bagan Ajam, Butterworth dekat sini.

Resolusi itu dibuat pada Mesyuarat Agung ke-36 Pen Mutiara yang diadakan pada 25 November lalu, sekali gus membuktikan pendirian rasmi komuniti nelayan di negeri itu untuk menolak projek tambakan laut yang jelas menjejaskan mata pencarian mereka.

Terdahulu, mereka juga turut mengadakan bantahan secara aman ketika mesyuarat berlangsung dengan masing-masing mengangkat sepanduk dan melaungkan bantahan terhadap sebarang projek tambakan laut di Pulau Pinang.

Ketika ini terdapat dua projek tambak laut yang dirancang Kerajaan Negeri Pulau Pinang iaitu PSR membabitkan projek pembangunan tiga pulau buatan berkeluasan 1,700 hektar di perairan Permatang Damar Laut, selain tambakan laut dari Bagan Ajam ke Telok Air Tawar seluas 407 hektar dalam daerah Seberang Perai Utara (SPU). – HARAKAHDAILY 29/11/2021