Penyatuan ummah tidak harus terikat kelompok tertentu

Ahmad Fadhli Shaari
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia mendukung penuh kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkenaan pendirian PAS dalam Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).

Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari, berkata aspek yang paling besar dalam memperkukuh penyatuan ummah adalah menyatukan masyarakat Melayu, Islam serta Bumiputera yang majoriti.

Katanya, penyatuan itu mesti melibatkan semua pihak bagi meraikan masyarakat majmuk di Malaysia.

- Advertisement -

“Penyatuan ummah tidak boleh terhad kepada sesetengah kelompok sahaja, ia mesti bergerak selari.

“Pemuda PAS berdiri teguh dengan kenyataan Presiden PAS yang menjadi dasar perjuangan parti dan menegaskan sebarang kenyataan mana-mana pihak yang tidak selari dengan kenyataan tersebut bukanlah pendirian rasmi parti, dan tidak wajar dikaitkan dengan PAS,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Tuan Guru Abdul Hadi menyifatkan MN dan PN tidak seharusnya dipisahkan sekiranya benar-benar berkonsepkan perpaduan umat dalam negara masyarakat majmuk yang ikhlas.

Kata Abdul Hadi, berdasarkan semangat yang telah ditegaskan dalam Piagam Muafakat Nasional yang disertai oleh kalangan Melayu Islam dan bumiputera, mereka wajib disatukan setelah berpecah-belah dan berporak-peranda selama ini.

Jelas beliau, MN bukan sahaja disertai oleh PAS dan Umno, bahkan melibatkan semua pihak jika gagasan itu benar-benar berkonsepkan acuan al-Quran yang pernah mendidik masyarakat Arab sebelum Islam yang berpecah-belah. – HARAKAHDAILY 26/11/2021

- Advertisement -