GPS dijangka mampu pertahan kerajaan negeri

- Advertisement -

Oleh KAIROL ZULHAIDI

KUALA LUMPUR: Gabungan Parti Sarawak (GPS) dijangka tiada masalah untuk mempertahankan kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 kali ini.

Penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Jeniri Amir berkata, beliau yakin GPS akan berjaya mempertahankan kuasanya untuk terus memerintah negeri Sarawak.

- Advertisement -

Menurutnya, perpecahan Pakatan Harapan (PH) dan banyak parti bertanding akan menyebabkan sokongan dalam kalangan penyokong pembangkang turut berpecah.

Sedangkan katanya, pengundi dan penyokong GPS terus utuh dan tidak berpecah.

Kata beliau, sekurang-kurangnya terdapat 12 parti politik pada PRN tersebut, namun pertembungan utama antara GPS dengan PH dan Parti Sarawak Bersatu (PSB).

“Saya jangka terdapat sekurang-kurangnya lapan atau sembilan parti akan menentang GPS tetapi tentangan utama pastinya oleh PSB dan DAP.

“Ini kerana Parti Keadilan Rakyat (PKR) boleh dikatakan sudah lumpuh selepas perpecahan tahun lepas. Saya jangka kalau PKR bertanding di 47 kerusi akan kecundang.

“Berdasarkan rekod pada 2016 iaitu PRN Sarawak ke-11, hanya DAP sahaja yang mencecah hampir 20 peratus keseluruhan undi, manakala PKR hanya 10 peratus dan parti-parti lain kurang dua peratus.

“Ini berdasarkan jumlah daripada 70 peratus keseluruhan yang turun mengundi,” ujarnya ketika dihubungi HarakahDaily, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Jeniri berkata, rakyat Sarawak mahu kestabilan politik kerana mereka menyaksikan pentadbiran di bawah PH agak bergelora di peringkat nasional dan berlaku peralihan kuasa di Melaka.

Selain itu katanya, perkara paling penting rakyat Sarawak mahu pembangunan khususnya di luar bandar seperti jalan raya, bekalan air bersih dan elektrik, sekolah dan seumpamanya.

Rentetan itu, Dr Jeniri menegaskan faktor berkenaan memainkan peranan penting yang menjadi perhatian pengundi di Sarawak pada PRN Sarawak kali ini.

Katanya juga, perkara paling penting sekarang memastikan peratusan mengundi menepati sasaran Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) iaitu sebanyak 70 peratus.

“Saya jangka peratusan mengundi tinggi walaupun tidak mencapai tahap itu.
Jadi, saya rasa ia bakal menjadi cabaran dari segi kempen. Kempen secara bersemuka harus ada kelonggaran kerana Sarawak luas.

“Dijangkakan ada banyak calon baharu sekurang-sekurangnya 20 orang akan bertanding pada PRN Sarawak ke- 12 ini,” jelasnya.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN-12 Sarawak diadakan pada 18 Disember ini.

Tarikh penamaan calon pula pada 6 Disember 2021, manakala pengundian awal diadakan pada 14 Disember 2021.

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh mengumumkan tarikh penting PRN-12 itu dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas 24 November lalu.

SPR tidak dapat mengadakan PRN Sarawak selepas tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) berakhir pada 6 Jun lalu berikutan perisytiharan darurat. – HARAKAHDAILY 26/11/2021

- Advertisement -