Kedah usaha aktifkan semula industri pelancongan

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR: Kerajaan Kedah berusaha mengaktifkan semula industri pelancongan di negeri itu selepas melangkah ke fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Antaranya menganjur program ‘Jom Ride Ke Kedah’ yang menyasarkan penggemar motosikal berkuasa tinggi kerana mereka golongan berkemampuan dan gemar berbelanja.  

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pelancongan, Seni, Budaya dan Pembangunan Usahawan Negeri, Mohd Firdaus Ahmad berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama kelab permotoran Kedah untuk menjayakan program terbabit.

Menurutnya, melalui program seumpama itu akan menjadikan Kedah destinasi baharu selain Karnival BiBike Week di Sadao, Thailand.

“Selain itu, kita juga akan membuat perubahan beberapa Tourism Cluster, antaranya Backpackers Traveller kepada individu yang gemar eko-pelancongan tahap sederhana. 

“Ia termasuk juga Family Traveller yang memberi tumpuan lokasi membelah belah serta lawatan ke tempat-tempat bersejarah,” katanya ketika menggulung perbahasan pada persidangan DUN Kedah hari ini.

Di samping itu, Tourism Cluster juga memberi perhatian kepada Honeymoon Traveller istimewa kepada pelancong yang gemar berkunjung ke tempat yang santai ketika berbulan madu.

Dalam pada itu, kaki pancing serta pemancing tegar dan profesional ditawarkan pakej fun fishing atau extreme fishing trip, di samping mereka boleh merasai pengalaman menyuluh serta mencandat sotong.

“Mereka boleh merasai pengalaman memasak dan makan di atas bot nelayan. Ia secara tidak langsung dapat membantu nelayan menjana pendapatan,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah.

Mohd Firdaus juga berkata, pihaknya akan menjadikan Terowong Komunis di Baling sebagai lokasi pelancongan memandangkan tempat berkenaan berpotensi menjadi tarikan pelancong.

Tambahnya, Majlis Daerah Baling pernah membaik pulih dan menaik taraf prasarana di kawasan terbabit membabitkan kos RM700,000 pada 2016.

“Kerajaan negeri juga berusaha menerbitkan ‘travel book’ bagi membantu pelancong ke Kedah sama ada melalui jalan darat atau udara untuk memudahkan mereka mengenal pasti destinasi pelancongan menarik di negeri ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/11/2021

- Advertisement -