IPT wajar perkenal konsep kewartawanan Abdullah Munsyi

Prof Dato' Dr Ahmad Murad Merican.
- Advertisement -

KOTA BHARU: Sudah tiba masanya institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini memperkenalkan konsep kewartawanan Melayu yang diasaskan Abdullah Munsyi.

Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual, Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (ISTAC-IIUM), Prof Dato’ Dr Ahmad Murad Merican berkata, selepas 50 tahun tiada kursus mengenainya diperkenalkan.

- Advertisement -

Katanya, pada 1986 beliau pernah mengambil inisiatif memperkenalkan sejarah kewartawanan Abdullah Munsyi di Institut Teknologi Mara (ITM) ketika menjadi tenaga pengajar di situ.

“Tetapi saya tidak berjaya sebab orientasi dan sikap intelektual di sekolah kewartawanan di Malaysia lebih berkiblat kepada ilmu dari Barat termasuk sejarah dan konsep kebebasan.

“Saya melihat sekolah kewartawanan di UPM, UKM dan UM dan sebagainya tidak begitu adil kepada Abdullah Munsyi, kerana memisahkan konteks budaya dengan sekolah kewartawanan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada rancangan Bicara Ilmu Pencetus Tradisi Kewartawanan Melayu: Abdullah Munsyi, Eropah dan Alam Melayu yang disiarkan melalui Facebook Muzium Warisan Melayu Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini.

Dr Ahmad Murad berkata, usaha itu secara tidak langsung dapat mengubah tanggapan masyarakat bahawa kewartawanan bukan datang dari Barat dan Eropah sahaja.

“Sejak 50 tahun lalu tidak ada kursus yang khusus mengenai kewartawanan terbabit, jadi sejarah kewartawanan Melayu tidak menyentuh mengenai Abdullah Munsyi.

“Saya harap ahli akademik sedar dan sudah sampainya kursus mengenainya dapat diperkenalkan supaya pelajar dapat mengetahui tradisi kewartawanan Melayu,” katanya.

Beliau juga berkata, biarpun ramai ahli akademik membuat kajian mengenai pemikiran Abdullah Munsyi, namun idealisme tidak dihayati dalam bidang kewartawanan Melayu. – HARAKAHDAILY 17/11/2021

- Advertisement -