EFT bantu kerajaan negeri pelihara biodiversiti

- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

KUALA LUMPUR: Kerajaan komited memelihara biodiversiti negara dengan menggalakkan kerajaan negeri untuk mewartakan kawasan perlindungan penting bagi perkhidmatan ekosistem, termasuk kawasan tadahan air dan perlindungan hidupan liar.

Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Dato’ Ali Biju, berkata antara komitmen kerajaan adalah menyediakan insentif kewangan tambahan melalui instrumen Pemindahan Fiskal Ekologi untuk Pemuliharaan Biodiversiti (EFT).

- Advertisement -

Katanya, ini selari dengan matlamat Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2016-2025 (DKBK) yang menyasarkan penyediaan insentif kewangan telus dan berasaskan keberhasilan kepada negeri-negeri bagi melaksanakan program konservasi biodiversiti.

Mengulas lanjut katanya, peruntukan EFT berjumlah RM70 juta disediakan setiap tahun untuk diagihkan kepada negeri-negeri sebagai satu bentuk pemberian khusus di bawah Perbelanjaan Mengurus KeTSA mulai tahun 2022.

“Sebanyak RM60 juta diperuntukkan pada tahun 2019 dan RM70 juta bagi tahun 2021 kepada semua kerajaan negeri.

“Penyaluran dilaksanakan melalui Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup (TAHAP),” katanya dalam sesi penggulungan perbahasan Bajet 2022, di Dewan Rakyat hari ini.

Sehubungan itu katanya, pihaknya dalam usaha membangunkan sebuah Kerangka Kewangan REDD Plus (RFF) yang merupakan satu inisiatif kewangan kepada kerajaan negeri bagi mengekalkan dan memulihara hutan serta menjamin ekosistem hutan berterusan.

“Mekanisme Pengurangan Emisi Penyahhutanan dan Degradasi Hutan (REDD Plus) dibangunkan di bawah Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC) bertujuan untuk memberikan nilai kewangan terhadap penyerapan karbon hutan negara.

“Pada masa sama juga menawarkan insentif kepada negara-negara membangun mengekalkan hutan dan mengurangkan pelepasan gas rumah kaca (GHG) daripada aktiviti perhutanan.

Katanya, sebuah Syarikat Berhad Menurut Jaminan (CLBG) iaitu Malaysia Forest Fund (MFF) telah ditubuhkan bagi melaksanakan kerangka berkenaan di negara ini.

Ujar beliau, MFF turut berperanan membangun dan melaksanakan model operasi RFF yang efektif dan mampan serta menjana sumber kewangan melalui transaksi pasaran karbon hutan.

“Ia bertujuan bagi membiayai usaha pengekalan, pengurusan, perlindungan dan pemuliharaan hutan oleh kerajaan-kerajaan negeri,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 17/11/21

- Advertisement -