Dakwaan ADUN Amanah Pengkalan Kundur disangkal

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR: Dakwaan Dato’ Dr Ismail Salleh (Amanah-Pengkalan Kundur) kononnya beliau dihalau ketika menghadiri program vaksinasi di Pusat Latihan MADA, Alor Serdang adalah tidak benar.

Anggota Exco kerajaan negeri, Dato Siti Ashah Ghazali berkata, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kundur menjelaskan, dia tidak pernah menyekat kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundur tersebut pada program vaksinasi di Pusat Latihan MADA.   

- Advertisement -

Bagaimanapun katanya, ADUN dari parti Amanah itu tidak disenangi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) kerana hadir pada program berkenaan. 

“Penyelaras DUN Pengkalan Kundur menjelaskan dia tidak mengeluarkan apa-apa arahan. Jadi,tuduhan dibuat ADUN terbabit semalam tidak betul.

“Yang halang (ADUN Pengkalan Kundur) itu ialah JPKK kerana program vaksinasi berkenaan adalah anjuran mereka bersama pejabat daerah. Mereka tidak selesa dengan kehadiran ADUN terbabit kerana ia boleh menimbulkan persepsi tidak manis,” katanya pada persidangan DUN Kedah hari ini.

Semalam, Ismail mendakwa beliau dihalang ketika menghadiri program vaksinasi oleh Penyelaras  DUN  terbabit.

“Untuk makluman, Penyelaras DUN hanya bertindak sebagai penyelaras di DUN masing–masing. Mereka tidak diberi sebarang kuasa eksekutif untuk mengambil apa–apa tindakan,” katanya. 

Sementara itu, dalam perkembangan lain, kata beliau, dua rumah penduduk yang terlibat kejadian ribut di Kampung Permatang Ibus dan Buluh Lima di DUN Pengkalan Kundur telah diberikan bantuan oleh pihak pengurusan zakat bagi membaikpulih kerosakan yang dialami.

“JPKK di kawasan berkenaan  mengambil langkah segera dengan memaklumkan kepada penghulu dan Penyelaras DUN bagi membantu penduduk yang terlibat,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/11/2021

- Advertisement -