Pelancong teruja naik keretapi awal pagi ke Dabong

- Advertisement -



Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KUALA KRAI: ‘Train to Dabong’ yang tular di media sosial dan meningkatkan populariti perkhidmatan keretapi memberi impak besar terhadap tahap sosioekonomi penduduk tempatan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Dabong, Ku Mohd Zaki Ku Husin, berkata pengangkutan keretapi tempatan itu meningkatkan kehadiran pelancong yang mahu menikmati keindahan alam di sini.

- Advertisement -

Menurutnya, antara kesan positif yang dapat dilihat ialah penduduk tempatan yang terlibat dalam sektor pelancongan, terutama pemandu pelancong dapat menambah pendapatan sehingga RM1,300 sebulan.

“Secara keseluruhan, pendapatan penduduk meningkat. Begitu juga peniaga yang membuka kedai makan dan gerai tepi jalan mula mendapat sambutan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Sementara itu, Pengurus Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) Wilayah Timur, Roslan Ibni Tajri, berkata, KTMB menambah empat lagi gerabak untuk ‘Train to Dabong’ terutama pada hari kelepasan am.

Pada hari biasa, katanya keretapi jenis Diesel Multiple Unit (DMU) dari Tumpat ke Kuala Lipis, Pahang, hanya membawa empat tren untuk kegunaan orang ramai.

“Sebanyak 208 tempat duduk disediakan pada hari biasa. Bagaimanapun pada hari minggu dan hari kelepasan am, KTMB menambah set berkembar yang dapat menampung 416 tempat duduk. Paling ramai ialah rakyat Kelantan sendiri dan ada juga dari negeri lain.

“Tempahan tiket dibuka secara dalam talian. Train to Dabong tertumpu pada hari cuti sahaja dan tidak melibatkan hari persekolahan,” katanya.

Sebahagian pelancong tempatan yang melawat tempat menarik sekitar Dabong

Sementara itu, pelancong tempatan, Zailan Mohamad, 52, dari Machang, berkata menaiki keretapi ke Dabong merupakan pengalaman berharga yang tidak boleh dilupakan.

Katanya, ada di kalangan ahli rombongannya seramai 18 ahli keluarga tidak pernah merasai pengalaman menaiki keretapi yang menjadi pengangkutan utama suatu ketika dahulu.

“Memang menjadi acara tahunan keluarga kami, oleh kerana dua tahun tidak ke mana-mana, membuat perjalanan ke Dabong. Ini menjadi kemestian keluarga untuk melancong dalam negeri.

“Ini merupakan produk negeri kita. Sambil mempromosikan produk sendiri, banyak tempat menarik di sini. Walaupun berumur, ada juga yang tidak pernah naik keretapi,” katanya.

Siti Azuan Kamisan, 50, dari Johor Bahru, mengakui datang ke Dabong selepas ‘Train to Dabong’ menjadi tular sejak setahun lalu, bagi melihat sendiri suasana serta keindahan alam semula jadi.

Katanya, seorang daripada dua anak yang menemaninya tidak pernah merasai naik keretapi ke kawasan pedalaman yang dipenuhi kehijauan alam sekitar.

“Sudah lama tidak naik keretapi. Anak saya ini pertama kali naik dan seronok naik keretapi dari Wakaf Bharu jam 4 pagi dan sampai di Dabong jam 7 pagi. Kami dapat lihat suasana pagi.

“Suasana bandar sudah rasai. Kini pergi ke kampung dan hutan, perasaan menjadi lain, keindahan alam sekitar dan suasananya sangat cantik, memang hendak datang lama,” katanya.

Siti Haniza Abdul Rahman, 45, berkata menaiki keretapi pada jam 4 pagi ke Dabong merupakan pengalaman yang tidak boleh dilupakan sepanjang hidupnya.

“Sangat menarik. Bermula jam 3 pagi sudah keluar dari rumah, naik keretapi jam 4 pagi. Suasana ketika itu masih gelap, apabila nak sampai di beberapa destinasi, suasana alam semakin berubah.

“Apabila hendak sampai stesen Dabong, langit semakin cerah. Solat subuh pun dalam keretapi. Apabila sampai pemandangan sangat indah dengan kabus, hutan hijau, pengalaman yang sukar dilupakan”, katanya. – HARAKAHDAILY 14/11/21

- Advertisement -