Program Kebuniti beri manfaat 39,608 penduduk

- Advertisement -

Oleh ZULKEFLI HUSSIN

PASIR PUTEH: Program Pertanian Bandar (Kebuniti) memberi faedah kepada 39,608 penduduk, termasuk mereka yang terkesan akibat penularan pandemik Covid-19.

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memperuntukkan sejumlah RM63.32 juta bagi tujuan itu sejak 2014.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh, berkata peruntukan itu membabitkan 25,775 lokasi di seluruh negara.

“Program Kebuniti mendapat sambutan menggalakkan, terutama masyarakat bandar dan luar bandar untuk mengusahakan tanaman jangka pendek seperti sayur-sayuran.

“Bantuan yang diberi merangkumi pasu, benih, baja dan peralatan tanaman,” katanya selepas merasmikan Program MAFI Prihatin di Pejabat Pertanian di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi Teknologi Hijau dan Alam Sekitar Negeri Kelantan, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail; Pengarah Bahagian Pengembangan Pertanian Jabatan Pertanian Malaysia, Johari Abdullah dan Pengarah Pertanian Kelantan, Norbahani Zakaria.

Dr Nik Muhammad Zawawi yang juga Ahli Parlimen Pasir Puteh berkata, lebih RM5.6 juta diberi kepada Jabatan Pertanian Kelantan membabitkan 17 projek melibatkan 4,142 petani di seluruh negeri sepanjang tahun ini.

Daripada jumlah itu, katanya RM634,246 membabitkan 428 lokasi projek diberikan kepada 559 petani di Jajahan Pasir Puteh.

“Program Kebuniti adalah antara projek utama bagi penduduk di sini, terutama golongan B40 dengan nilai peruntukan keseluruhan berjumlah RM233,000 yang memberi faedah kepada 386 peserta,” katanya.

Beliau berkata, mereka terdiri daripada penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Selising, Dun Limbongan, Dun Gaal dan Dun Semerak.

Katanya, Program MAFI Prihatin merupakan antara platform terbaik kementerian untuk merasai denyut nadi rakyat dalam usaha membantu kumpulan sasar merasai kesan positif daripada limpahan ekonomi pertanian melalui projek pembangunan berimpak tinggi. – HARAKAHDAILY 14/11/21

- Advertisement -