Dun Terengganu lancar Perpustakaan Digital

- Advertisement -

Oleh KHAIRUL AZLAM MOHAMAD

KUALA TERENGGANU:
Pejabat Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu merupakan negeri pertama melancarkan Perpustakaan Digital.

Yang Dipertua Dun Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, sebelum ini cadangan bagi mewujudkan ruang perpustakaan digital di pejabat Dun pernah dimajukan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 30 Oktober 2019 dan 26 Febuari 2020.

Namun, katanya cadangan mewujudkan perpustakaan digital berkenaan tidak dapat dipertimbangkan kerana implikasi kewangan ketika itu.

- Advertisement -

“Pihak pentadbiran Dun tidak berputus asa dan menjadikannya sebagai suatu cabaran untuk meneruskan projek dalam bentuk fully digitalised dengan kos sangat minima.

“Kami sedia maklum Adun tidak mempunyai masa yang banyak untuk ke perpustakaan bagi membuat ‘homework’ sebelum bermulanya sesuatu persidangan Dun.

“Dengan adanya perpustakaan digital segala maklumat berada di hujung jari,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pelancaran Perpustakaan Digital di U2 Wisma Darul Iman (WDI) hari ini.

Perasmiannya disempurnakan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Yahaya juga berkata, semua Adun boleh membuat rujukan pada bila-bila masa dan di mana jua bagi mencari maklumat yang diperlukan terutama berkenaan ‘hansard’ dan bahan-bahan penyelidikan.

Menurutnya juga perpustakaan itu berjaya diwujudkan dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri dengan memberi laluan untuk mengakses bahan-bahan bacaan digital.

“Digital library Dun akan melalui beberapa fasa sebelum ia benar-benar lengkap, bermula pembangunan sistem, kolaborasi dengan perpustakaan awam negeri sehingga wujud kompleks khas perpustakaan digital.

“Insya-Allah, Dun Terengganu akan menjadi perintis kepada Dun-Dun lain dalam projek digital library sesuai dengan visinya, ‘Menjadi Dun Yang Terunggul’,” jelasnya.

Menurutnya juga pembangunan perpustakaan digital selaras dengan hasrat kerajaan negeri yang diterjemahkan melalui Pelan Induk Kerajaan Digital Pintar Terengganu 2021-2030.

Hadir sama pada majlis itu, Penasihat Undang-Undang negeri, Dato’ Razali Che Ani, Pegawai Kewangan negeri, Dato’ Zainal Abidin Mohamed dan anggota-anggota Exco. – HARAKAHDAILY 3/11/2021

- Advertisement -