Ladang rusa K’jaan Terengganu diinspirasi dari Perak

- Advertisement -

LENGGONG: Kerajaan Negeri Terengganu bakal mengusahakan ladang ternakan rusa pertamanya diinspirasikan dari kejayaan penternakan tersebut yang dijalankan di negeri ini.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Terengganu, Dr Azman Ibrahim, berkata ladang berkenaan seluas kira-kira 40 hektar kini sedang dibangunkan di satu lokasi di Bari, Setiu.

Menurut beliau, ladang di bawah kendalian Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) itu hampir 90 peratus siap dengan keperluan asas seperti pagar siklon, rumah gelap dan lain-lain.

“Peruntukan kerajaan negeri tersebut disalurkan kepada JPV negeri Terengganu. Hasil kunjungan kali pertama dua tahun lalu dan datang kali kedua ini bertujuan untuk mendapatkan baka rusa.

“Untuk peringkat pertama kita akan dapatkan 20 hingga 30 ekor dari ladang-ladang di Perak, khususnya di Lenggong,” katanya ketika lawatan ke Padang Ragut Kampung Luat (PRKL), di sini semalam.

Kunjungan Dr Azman ini adalah merupakan kali kedua ke ladang tersebut dan telah disambut Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Razman Zakaria.

Hadir sama, Pengarah JPV Terengganu, Dr Anum Man dan Timbalan Pengarah JPV Perak, Dr Zulkifli Ahmad serta Ketua Unit Perancang JPV Perak, Hanit Mat dan Pegawai JPV Hulu Perak, Muhammad Nordin Abdul Latif serta Pengerusi PRKL, Ahmad Bakri Ariffin.

Dr Azman berkata, industri ternakan rusa di Terengganu kini telah menjadi semakin berkembang dalam kalangan individu kerana telah ada yang menceburinya secara persendirian.

Justeru katanya, hasrat kerajaan negeri mewujudkan ladang sedang dibangunkan ini bertujuan menyediakan baka-baka rusa kepada individu yang ingin menceburi industri ternakan rusa di negeri itu.

“Kita lihat bidang ternakan rusa semakin menarik minat rakyat di Terengganu dan ia bukan lagi menjadi sesuatu yang asing, jadi kerajaan juga perlu bergerak seiring bagi menyediakan kemudahan kepada mereka, terutama baka-baka rusa.

“Dan saya melihat Perak, khususnya Lenggong adalah contoh terbaik dalam industri ternakan rusa ini,” ujarnya.

Sementara itu, Razman merakamkan penghargaan kepada delegasi Terengganu atas pengiktirafan di samping memilih Perak, khususnya Hulu Perak yang menjadi Rusa Belt sebagai asas untuk menyebarluas bidang ternakan haiwan itu di Terengganu.

Kata beliau, sememangnya ternakan rusa pertama kali diperkenalkan di Hulu Perak, khusus Lenggong untuk dikembangkan di seluruh negara. – HARAKAHDAILY 2/11/2021

- Advertisement -