COP26: Lebih 100 negara henti tebang hutan 2030

- Advertisement -

GLASGOW: Lebih daripada 100 negara berjanji untuk menghentikan dan memulihkan kemusnahan hutan dan degradasi tanah menjelang akhir tahun 2030, disokong oleh dana awam dan swasta AS$19 bilion untuk melabur dalam melindungi dan memulihkan hutan.

Kenyataan bersama yang dikeluarkan pada Persidangan Perundingan Iklim ke-26 (COP26) di Glasgow hari ini, disokong oleh pemimpin negara termasuk Brazil, Rusia, Indonesia dan Republik Demokratik Congo, yang secara kolektif menyumbang 85 peratus daripada hutan dunia.

- Advertisement -

Deklarasi Pemimpin Glasgow mengenai Hutan dan Penggunaan Tanah akan meliputi hutan berjumlah lebih 33 juta kilometer persegi (13 juta batu persegi), menurut kenyataan pejabat Perdana Menteri Britain, Boris Johnson.

“Kami akan mempunyai peluang untuk menamatkan sejarah panjang manusia sebagai penakluk alam, dan sebaliknya menjadi penjaganya,” kata Johnson, menyebutnya sebagai perjanjian yang belum pernah terjadi sebelumnya.

Pelbagai inisiatif kerajaan dan swasta tambahan telah dilancarkan pada hari ini (Selasa) untuk membantu mencapai matlamat itu, termasuk berbilion-bilion ikrar untuk ‘penjaga hutan’ dari puak Orang Asli dan pertanian lestari.

Hutan menyerap kira-kira 30 peratus daripada pelepasan karbon dioksida, menurut Institut Sumber Dunia (WRI). Hutan mengeluarkan pelepasan dari atmosfera dan menghalangnya daripada memanaskan iklim.

Boris Johnson ketika berucap pada COP26 di Glasgow, Scotland. – FOTO THE GUARDIAN.COM

Namun, penampan iklim semula jadi ini semakin hilang dengan cepat. Dunia kehilangan 258,000 kilometer persegi (99,600 batu persegi) hutan pada tahun 2020, menurut inisiatif pengesanan penebangan hutan WRI Global Forest Watch. Ia  adalah kawasan yang lebih besar daripada United Kingdom.

Pengarah program perubahan iklim The Nature Conservancy di California, Michelle Passero menyifatkan perjanjian itu sebagai  suatu ‘permulaan yang hebat’. 

“Kami memerlukan ikrar seperti ini untuk memulakan COP26. Ini adalah permulaan yang sangat baik. Kami juga perlu menghubungkan semua titik sehingga ke dasarnya, untuk melibatkan komuniti dan komuniti Orang Asli dalam penyelesaian,” katanya kepada Al Jazeera.

Perjanjian pada hari Isnin (semalam) secara meluas telah memperluaskan komitmen serupa yang dibuat oleh 40 negara sebagai sebahagian daripada Deklarasi New York mengenai Hutan 2014 dan pergi lebih jauh daripada sebelumnya dalam meletakkan sumber untuk mencapai matlamat tersebut.

Presiden Indonesia, Joko Widodo berkata, hutan hujan di negaranya selain bakau, lautan dan tanah gambut adalah kunci untuk menyekat perubahan iklim yang membawa bencana.

“Kami komited untuk melindungi sinki karbon kritikal ini dan modal semula jadi kami untuk generasi akan datang,” katanya.

Di bawah perjanjian itu, 12 negara, termasuk UK, telah berjanji untuk menyediakan AS$12 bilion pembiayaan awam antara 2021 dan 2025 untuk membantu negara membangun, termasuk dalam usaha memulihkan tanah yang terdegradasi dan menangani kebakaran hutan.

Sekurang-kurangnya AS$7.2 bilion lagi akan disediakan oleh lebih 30 pelabur sektor swasta, termasuk Aviva, Schroders dan AXA.

Para pelabur, yang mewakili AS$8.7 trilion dalam aset di bawah pengurusan, juga berjanji untuk berhenti melabur dalam aktiviti yang dikaitkan dengan penebangan hutan menjelang 2025.

Lima negara, termasuk United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS), dan sekumpulan badan amal global pada hari ini (Selasa) juga berjanji untuk menyediakan pembiayaan AS$1.7 bilion untuk menyokong pemuliharaan hutan Orang Asli dan mengukuhkan hak tanah mereka.

Hutan Amazon di Brazil turut diancam bakal mengalalami kemusnahan akibat industri pembalakan.

Pencinta alam sekitar mengatakan bahawa masyarakat Orang Asli adalah pelindung terbaik hutan, selalunya menentang pencerobohan ganas pembalak dan perampas tanah.

Lebih daripada 30 institusi kewangan dengan lebih daripada AS$8.7 trilion dalam aset di bawah pengurusan juga berkata mereka akan melakukan ‘usaha terbaik’ untuk menghapuskan penebangan hutan yang berkaitan dengan pengeluaran lembu, minyak sawit, soya dan pulpa menjelang 2025.

COP26 menyasarkan untuk mengekalkan sasaran menghadkan pemanasan global pada 1.5 celcius di atas paras pra-perindustrian –  tahap yang diperlukan untuk mengelakkan kesan pemanasan global yang paling dahsyat. 

Para saintis berkata, hutan dan apa yang dipanggil penyelesaian berasaskan alam semula jadi akan menjadi perkara penting untuk mencapai matlamat itu.

“Biosfera kami benar-benar membantu menyelamatkan kami buat masa ini, tetapi tidak ada jaminan proses itu akan berterusan,” kata Oliver Phillips, ahli ekologi dari Universiti Leeds di UK.

Pengarah Eksekutif Greenpeace Brazil, Carolina Pasquali pula menegaskan, pokok terus ditebang pada skala perindustrian, tidak terkecuali di Hutan Amazon di bawah pemerintahan sayap kanan Presiden Brazil, Jair Bolsonaro.

“Greenpeace mengkritik inisiatif Glasgow kerana memberi lampu hijau secara berkesan kepada ‘satu lagi dekad penebangan hutan’.

“Puak Orang asli menyeru agar 80 peratus Hutan Amazon dilindungi menjelang 2025, dan mereka betul, itulah yang diperlukan,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/11/2021

- Advertisement -