Robot elektrik bongkar misteri lautan

- Advertisement -

Oleh YUSMAN AWANG

CALIFORNIA: Kawasan lautan yang meliputi lebih 70 peratus daripada permukaan bumi yang sehingga kini masih kekal misteri dalam pengetahuan manusia, bakal cuba dirungkai dan dibongkar oleh peranti yang dikenali sebagai ‘robot elektrik’.

Sejak berabad lamanya, spesies manusia telah berjaya menerokai dan menguasai kawasan pergunungan, hutan dan padang pasir di  bumi tetapi tidak lautan, khususnya bahagian dasarnya. 

- Advertisement -

Buat masa sekarang ini hanya lima peratus dasar lautan telah diterokai manusia, manakala 95 peratus lagi menyimpan pelbagai misteri yang belum diketahui oleh manusia.

Malah melalui kajian saintifik, manusia lebih banyak mengetahui tentang permukaan planet Marikh berbanding tentang dasar lautan, memandangkan setakat ini baru hanya kira-kira 20 peratus daripada dasar lautan berjaya dipetakan.

Sedangkan fakta saintifik menyatakan bahawa sempadan terakhir bumi bukan terletak di atas (angkasa) tetapi berada di bawah (lautan). 

Ini kerana gambaran yang lebih lengkap dan tepat mengenai lautan terutama di bahagian dasarnya, atau lokasi yang boleh dilabelkan sebagai ‘sempadan terakhir bumi’ itu adalah sesuatu yang amat diperlukan buat masa ini.

Peranti canggih antara yang digunakan saintis bagi membongkar misteri yang terkandung di dasar lautan.

Ia boleh dimanfaatkan untuk membangunkan apa yang dikenali sebagai ‘ekonomi biru’  (blue economy) yang diunjurkan bernilai AS$3 trilion menjelang tahun 2030, yang merangkumi antaranya agar pergerakan kapal di lautan agar boleh dikemudi dengan lebih sistematik dan selamat, penciptaan model iklim yang lebih tepat untuk dijadikan sebagai panduan semasa pelayaran di lautan, sistem perlindungan spesies marin berimpak tinggi dan sistem rangkaian kabel telekomunikasi bawah lautan yang canggih.

Jika sebelum ini kenderaan di bawah air laut atau ‘robot lautan’ yang dilengkapi dengan sistem pengesan telah digunakan bagi membantu mengumpulkan data dalam proses pemetaan dasar lautan dalam.

Namun, ia bergantung pada bateri dengan jangka hayat yang terhad, dan perlu kembali ke bot atau pantai untuk mengecas semula bateri, menyebabkan agak sukar untuk ia menjalankan pemetaan pada bahagian dasar lautan yang kedudukannya agak terpencil jauh kedalamannya.

Memperkenalkan Seatrec, yang dicipta oleh pakar lautan, Dr Yi Chao. Ketika bertugas di Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika (NASA), Chao telah membangunkan teknologi ‘apungan’ untuk menyalurkan kuasa tenaga gerakan elektrik kepada robot lautan dengan memanfaatkan ‘perbezaan suhu yang berlaku secara semula jadi’ mengikut kedalaman lautan. 

Kawasan dasar laut yang meliputi lebih 70 peratus kawasan muka bumi ini sentiasa menjadi cabaran buat spesies manusia untuk cuba merungkai dan membongkar pelbagai misteri yang belum lagi terjawab buat masa ini.

Dalam erti kata lain semasa terapung dalam lautan, Seatrec menggunakan perbezaan suhu air lautan tersebut bagi menyalurkan kuasa tenaga elektrik kepadanya.

Justeru, Seatrec  berkeupayaan mereka bentuk dan menghasilkan penuaian tenaga yang menjana elektrik hasil daripada perbezaan suhu yang berlaku secara semula jadi di perairan lautan. 

Justeru, apabila Seatrec dipasang kepada robot lautan sedia ada, ia akan membolehkan robot berkenaan menyelam pada kedalaman satu kilometer atau ke bawah untuk memeriksa bentuk dan status dari segi kimia dasar laut bagi mencipta suatu peta pada kawasan sekitarnya dengan menggunakan sonar, iaitu sistem pengesanan objek di bawah air laut dengan mengeluarkan denyutan bunyi dan mengesan atau mengukurnya kembali selepas ia dipantulkan.

Jelas sekali daripada sekadar robot lautan, apabila ia dilengkapi dengan Seatrec ia lantas muncul sebagai ‘robot elektrik’ yang bukan sahaja mesra alam tetapi unik dengan jangka hayat berkemungkinan buat selama-lamanya, kerana tenaga elektrik yang menggerakkan robot itu dijana sendiri oleh lautan.  – HARAKAHDAILY 2/11/2021 >>>Ikuti gambaran lanjut yang lebih menggemparkan tentang misteri dasar lautan yang cuba dibongkar saintis, dalam Harakah edisi cetak<<<

- Advertisement -