Kemaskini perkembangan banjir di Daerah Pendang

- Advertisement -

SEBENTAR tadi, saya sempat mengisi masa rehat saya di Parlimen dengan mengadakan sesi mesyuarat khas secara atas talian bersama semua agensi terlibat berkaitan banjir di Daerah Pendang bagi mendapatkan perkembangan terkini situasi banjir di sana. 

Berdasarkan rekod Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pendang, hujan lebat yang bermula sejak khamis lalu telah menyebabkan banjir di 10 kampung di Daerah Pendang. Seramai 139 mangsa daripada 35 keluarga terlibat juga telah diarah berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS). Kampung Banggol Besi di mukim Guar Kepayang merekodkan jumlah mangsa terjejas banjir yang tertinggi dipindahkan ke PPS, seramai 85 orang.

- Advertisement -

Meskipun hujan lebat sudah berhenti, aras air Sungai Pendang masih tinggi berada di aras bahaya. Beberapa kawasan terjejas banjir di sini juga masih ditenggelami air. Hal ini berpunca daripada keadaan air pasang surut di muara Sungai Kedah menyebabkan air lambat dialir keluar ke muara melalui Ampang Jajar MADA. Pihak MADA juga memaklumkan aras air di Pelubang Barrage masih tinggi dan sedang menjalankan operasi pelepasan air ke Sungai Anak Bukit menyebabkan pertembungan dengan air Sungai Pendang.

Bagi perancangan jangka panjang, Rancangan Tembatan Banjir (RTB) Sungai Pendang pakej kedua telah diluluskan bagi membolehkan perlindungan banjir akibat limpahan sungai di sepanjang Sungai Pendang termasuk di Alor Setar. Projek ini dijangka akan menyelamatkan 50,000 penduduk dan mengurangkan keluasan kawasan banjir daripada 5,000 hektar kepada 2,000 hektar terutamanya di kawasan sawah padi. Projek RTB Pakej 2 ini antara projek mega yang pastinya akan memberi maslahah yang besar untuk rakyat Pendang. 

Akhir sekali, saya turut ingin membawa mesej perpaduan agar kita semua saling bekerjasama dalam menangani masalah banjir di Pendang ini. Saya sedar, situasi banjir ini berlaku hampir setiap tahun dan sangat memerlukan solusi jangka panjang yang efektif. Semoga dengan usahasama antara semua agensi terlibat, kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan dapat merealisasikan hasrat rakyat Pendang dijauhkan daripada musibah banjir pada masa akan datang. 

Terima kasih kepada semua agensi terlibat terdiri daripada Angkatan Pertahanan Awam (APM), Pejabat Daerah dan Tanah (PDT), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Meteorologi dan lain-lain yang terlibat dalam mesyuarat kita sebentar tadi.

YB AWANG HASHIM
Timbalan Menteri Sumber Manusia
Ahli Parlimen Pendang – HARAKAHDAILY 28/10/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/241961607940071/posts/262425722560326

- Advertisement -