Terperangkap 7 jam sebelum diselamatkan APM

- Advertisement -

PASIR PUTEH: Seorang warga emas dan keluarganya dikatakan terperangkap hampir tujuh jam selepas rumahnya dinaiki air secara mendadak petang semalam.

Samsudin Awang, 66 berkata, beliau tidak menyangka air naik begitu cepat akibat limpahan Sungai Wakaf Bunut selepas hujan lebat selama dua hari.

- Advertisement -

Katanya kawasan pekarangan rumahnya mulai dinaiki air jam 2.30 petang sehingga ke paras pinggang.

“Saya dan isteri Rokiah Ab Ghani, 66 serta dua anak tidak dapat berbuat apa-apa sehingga diselamatkan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) jam 8 malam,” katanya ketika ditemui di Pusat Penempatan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Kamil tiga di sini, hari ini.

Beliau yang mengalami angin ahmar hanya mampu berjalan menggunakan tongkat memberitahu keluarganya hanya sempat menyelamatkan sebuah daripada dua peti sejuk ke tempat yang lebih tinggi.

Menurutnya peralatan rumah yang lain termasuk almari, katil, pakaian, televisyen dan tilam ditenggelami air bah.

Rokiah pula berkata, keadaan banjir kali ini agak luar biasa disebabkan air naik terlalu pantas menyebabkan beliau tidak sempat memapah suaminya menumpang di rumah jiran yang lebih tinggi sambil menunggu pasukan penyelamat tiba. – HARAKAHDAILY 4/12/2020

- Advertisement -