“Saya masuk Islam bukan sebab bisnes” – Calvin Thoo

- Advertisement -

Label Calvin Thoo cukup dikenali dalam industri fesyen tanah air. Pemilik label berkenaan, siapa lagi kalau bukan Calvin Thoo, 49, telah bergiat dalam industri fesyen sejak 18 tahun yang lalu.

Anak kelahiran Bukit Bintang, Kuala Lumpur ini cukup dikenali dalam kalangan selebriti tersohor tanah air kerana pernah menata rias nama-nama seperti Dato’ Siti Nurhaliza, Erra Fazira, Rozita Che Wan, Nur Fazura, Aishah dan ramai lagi.

Graduan Seni Fesyen 1995/96 dari RMIT, Melbourne, Australia ini juga turut dikenali dalam kalangan VVIP terutama kerana beliau pernah membuat rekaan pakaian untuk Kerabat Diraja Pahang, Terengganu, Kelantan dan Perlis, selain pernah menyertai pertunjukan fesyen di luar negara seperti di Paris, Australia, China,Thailand dan Indonesia.

Seorang yang berpandangan jauh, bukan sekadar pereka fesyen untuk bisnes semata-mata, Calvin sangat cintakan seni rekaan dan fabrik, sehingga beliau sangat mementingkan dan berusaha agar khazanah seni fabrik Melayu terpelihara supaya tidak pupus ditelan zaman.  

- Advertisement -

Namun pada tahun 2013, Calvin mengejutkan industri apabila memeluk agama Islam yang disempurnakan oleh (Allahyarham) Ustaz Dato’ Ismail Kamus, malah ada yang menuduh beliau masuk Islam kerana agenda bisnesnya itu. 

Justeru, selepas kira-kira lapan tahun bergelar Muslim, apakah sebenarnya perubahan yang telah dialami Calvin dalam rutin kehidupannya? 

Ikuti temu bual  kru HarakahDaily, YUSMAN AWANG, KAIROL ZULHAIDI dan jurugambar/juruvideo, MUHAMMAD ZHARIF ZULKIFLEE  bersama Calvin Thoo di butiknya yang terletak di Jalan Imbi, Bukit Bintang, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Boleh kongsikan pengalaman hijrah Calvin Thoo sejak memeluk agama Islam pada 23 Mei 2013 iaitu selepas kira-kira lapan tahun yang lalu?

Perubahan yang dialami Calvin sebenarnya mudah sahaja, apa yang kita boleh ikut dan laksanakan kita buat sahaja. Apa yang Calvin sedar dan sampaikan kepada sesiapa sahaja ialah Islam adalah agama yang mudah. 

Ada dua perkara penting dalam Islam menurut kefahaman Calvin iaitu pertama, niat; dan kedua, selalu mengingati Allah SWT. 

Bagi Calvin, manusia yang membuatkan sesuatu itu sukar atau complicated. Sepanjang kehidupan Calvin setelah bergelar Muslim, banyak perkara yang masuk akal dan boleh diterima iaitu kelebihan pengetahuan dalam mendalami Islam.  

Banyak perkara yang kita tahu dan diajar dalam Islam sebenarnya ada sebab-musabab tertentu. Setiap perkara yang terjadi dalam Islam ada hikmahnya. 

Berdasarkan kefahaman saya, kenapa kita disuruh agar solat lima waktu sehari adalah kerana agar kita sentiasa mengingati Allah SWT. Sebelum kita melaksanakan sesuatu perkara seperti solat, puasa dan sebagainya, kita perlu memasang niat. 

Niat bertujuan untuk mengingatkan kita mengenai tujuan kita melakukan sesuatu perkara. Merujuk kepada perkara asas ini, Calvin sedar bahawa Islam merupakan agama yang benar bagi Calvin. Apabila saya solat, saya sering melafazkan, “Alhamdulillah, Ya Allah, izinkan aku agar menjadi sebahagian daripada agama yang indah ini.” 

Setiap perkara tentang Islam ini adalah benar dan make sense. Saya ringkaskan berdasarkan kefahaman saya tentang Islam. Namun kita hanya manusia. Setiap manusia tidak pernah terlepas daripada melakukan kesilapan. Janganlah kita menilai dengan mudah atau terus menghukum seseorang itu. 

Bagaimana dengan pengalaman sepanjang penglibatan dalam Festival Fesyen Islamik, boleh Calvin ceritakan?

Antara perkara awal yang memperkenalkan saya kepada Islam ialah ketika saya menyertai Festival Fesyen Islam atau Islamic Fashion Festival (IFF). Calvin telah dijemput ke fashion show tersebut setiap kali acara tersebut berlangsung di Kuala Lumpur. Dari situ, saya belajar erti sebenar tentang IFF.

IFF pertama yang saya sertai adalah pada 15 tahun yang lepas. Dulu, saya tidak memahami sangat tentang fesyen Muslim, asalkan berlengan panjang dan menutup seluruh tubuh sahaja.  

Calvin mula menghasilkan rekaan pakaian yang lebih berkonsepkan Islamik selepas mendalami dengan lebih terperinci tentang Islam.

Namun apabila saya mempelajari dan lebih mendalami tentang Islam, saya mula buat design  pakaian yang lebih berkonsepkan Islamik, dan tidak lagi ketat. 

Baju jenama Calvin Thoo sebelum ini memang berkonsepkan “look tight but not tight”. Itulah keunikan rekaan saya yang berdasarkan cita rasa dan permintaan pelanggan. 

Calvin memeluk agama Islam pada tahun 2013 dengan disaksikan antaranya ketika itu oleh (Allahyarham) Ustaz Dato’ Ismail Kamus. Boleh kongsikan kenapa hati Calvin terbuka pintu hati untuk memeluk agama Islam? Betul ke ada yang menuduh Calvin masuk Islam sebab bisnes?

Saya ingin mengungkap kembali sebab kenapa saya masuk Islam. Ada suatu ketika itu, selepas saya masuk Islam, ada seorang lelaki Cina datang kepada saya dan bertanya: “You Calvin Thoo kan? You masuk Islam sebab bisnes you kan?”

Saya sangat terkejut dengan pertanyaan lelaki itu tetapi saya masih lagi mampu bertenang seraya menjawab: “Maaf, saya masuk Islam bukan sebab bisnes.” 

Sebenarnya, saya sendiri tak tahu kenapa saya memeluk agama Islam. Namun saya rasa apabila kita menginjak ke usia tua, nak menuju ke ‘sana’, kita akan makin insaf. 

Saya percaya hidup saya telah diaturkan Allah, termasuk dari segi perjalanan kerjaya saya sebagai seorang pereka fesyen. Bila saya fikir semula, in term of religion, bila tiba masanya, ia (keinsafan) akan berlaku.

Sebelum saya tekad untuk memeluk agama Islam, saya memang ada mimpi mengucap syahadah pada suatu malam sampai habis basah satu badan saya. Itu memang petanda untuk saya peluk agama Islam.

Selain daripada itu, pada suatu pagi, saya tiba-tiba rasa saya tak mahu lagi makan daging khinzir, dan saya berhenti makan daging khinzir kira-kira dua tahun sebelum saya memeluk agama Islam lagi.

Sejujurnya, pada suatu hari, ketika itu hampir Pilihan Raya Umum 2013 (PRU13) pada awal Mei 2013, kira-kira sebulan sebelum saya masuk Islam, saya dah ada niat nak masuk Islam pada ketika itu, tetapi masa tak sesuai.

Jadi bila tiba masanya, pada tarikh 23 Mei 2013 akhirnya saya secara rasminya memeluk agama Islam yang disempurnakan oleh (Allahyarham) Ustaz Dato’ Ismail Kamus sebab saya memang dah kenal Allahyarham.

Saya datang ke rumah Allahyarham, dan ketika itu keluarga saya tak tahu saya dah tekad mahu memeluk agama Islam. Saya dah pesan kepada orang-orang yang hadir ketika saya mengucap syahadah untuk memeluk agama Islam di rumah Allahyarham, agar jangan sebarkan tentang perkara tersebut. Namun, entah macam mana sejam selepas saya memeluk agama Islam, ibu menelefon saya.

Ibu tak marah pun saya masuk Islam. Dan selepas itu, selama dua hari telefon saya tak henti-henti berdering tetapi saya tak jawab walaupun tahu itu mesti kawan-kawan saya.

Calvin ada beritahu sudah mengenali (Allahyarham) Dato’ Ustaz Ismail Kamus sebelum Calvin memeluk agama Islam lagi. Boleh Calvin ceritakan lebih lanjut?

Saya ada design baju untuk keluarga Allahyarham. Banyak kali juga saya telah bertemu Allahyarham Ustaz Ismail Kamus. Namun, Allahyarham tidak pernah memaksa saya tetapi beliau mengajar saya sedikit demi sedikit tentang  ilmu agama Islam. 

Saya juga turut mempunyai beberapa rakan baik yang kuat agama tetapi mereka tidak pernah memaksa saya untuk masuk Islam. Sebaliknya, mereka mengajar saya banyak perkara tentang Islam dan apa sahaja persoalan yang saya utarakan mereka akan menjawab secara berhikmah. 

Kenangan manis Calvin ketika memeluk agama Islam pada 2013 yang disempurnakan oleh (Allahyarham) Ustaz Ismail Kamus.

Saya memang jenis orang yang sukar menerima apa-apa paksaan kerana sukar untuk saya terima dan saya akan letak ‘boundaries’ atau ‘wall’. Saya suka sesuatu perkara itu datang secara normal dan semulajadi. Memang saya dah kenal keluarga Allahyarham sebelum saya memeluk agama Islam lagi. Saya design baju untuk keluarga Allahyarham seperti baju raya dan busana perkahwinan.

Apakah perkembangan terbaharu Calvin?

Baru sahaja tak sampai sebulan Calvin buka semula bisnes butik Calvin ini, selepas selama kira-kira dua tahun tidak aktif sebab kena ikut prosedur operasi standard (SOP) bagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pandemik Covid-19 memang sangat memberi kesan terhadap industri fesyen negara sebab tiada  sebarang event yang dibuat, tetapi Alhamdulilllah sebab kini Lembah Klang dah berada dalam fasa 3 PPN, insya-Allah event akan dilaksanakan secara  beransur-ansur semula.

Jadi, apa yang Calvin buat sekarang ialah buat tempahan untuk majlis perkahwinan  yang tertunda sebelum ini, memang dah mula buat persediaan. Dan Calvin juga akan mula hasilkan koleksi ready-to-wear, sebab pandemik adalah satu norma baharu, jadi sekarang untuk industri fesyen, kita kena lebih kepada online retail

Maka Calvin akan bermula dengan bulan Oktober ini, akan muncul dengan koleksi ready to wear, untuk lelaki dan wanita. Koleksi ready to wear untuk wanita adalah pertama kali, bermula dengan blaus, insya-Allah kalau ada sambutan yang bagus, selepas itu kita proceed dengan jubah. 

Selain itu, Calvin juga dalam proses hasilkan sejadah atas label Calvin Thoo disasarkan untuk berada di pasaran sebelum Ramadan tahun depan.

Khabarnya Calvin juga sedang berjuang untuk memelihara seni fabrik Melayu agar tidak pupus ditelan masa. Boleh kongsikan?

Ya, sepanjang  tempoh pandemik, saya ada lakukan R&D dan saya dapati Malaysia ada banyak seni budaya yang tak ramai support sebab mereka kurang mengetahui tentang perkara itu, terutama kesenian Melayu dalam bentuk fabrik termasuk batik, kain tenun dan seni tekat.

Jadi, bagi saya sudah tiba masanya untuk kembali menonjolkan kesenian fabrik Melayu. Calvin akan cuba mengembalikan elemen kesenian Melayu ke dalam industri fesyen tanah air agar kita boleh berbangga dengan kebudayaan kita sendiri.

Macam di Indonesia, masyarakat di sana cukup berbangga dengan fabrik batik mereka tetapi di Malaysia peliknya, kita tak berapa bangga dengan fabrik batik kita, sehingga ada yang labelkan batik hanya pakaian untuk orang tua. Persepsi sebegini yang saya ingin ubah sebab batik bukan khusus untuk orang tua, tetapi tentang how you present it (bagaimana ia ditampilkan).

Calvin kini dalam perjuangan untuk memastikan agar kesenian fabrik Melayu tidak pupus ditelan zaman.

Justeru, kita kena ketengahkah ilmu pengetahuan tentang batik kepada orang ramai, kenapa batik sangat penting kepada kita, dan bagaimana kita boleh tonjolkan batik sebenarnya fabrik yang fleksibel, bukan sekadar pakaian untuk orang tua, tetapi tentang bagaimana kita boleh menonjolkan pesona batik itu – bukan sahaja untuk pakaian, ia juga boleh dijadikan fabrik untuk home wear, perabot dan sebagainya lagi.

Sama juga dengan kain tenun diraja, songket. Begitu juga dengan seni tekat. Kenyataannya, saya sekarang sedang proses memperbaiki tekat yang berusia 30 tahun. Malah saya juga pernah diberi tanggungjawab untuk memperbaiki tekat yang berusia 100 tahun milik ‘somebody’, yang dibuat dengan tangan dan berasal dari Perak. Tekat ini pun fleksibel, boleh digunakan untuk hasilkan pakaian, bantal, kain alas meja, kusyen dan sebagainya. Tapi malangnya sekarang ini tak ramai yang buat tekat di Malaysia. Tak ramai yang berminat dengan seni tekat, maka ia kian pupus ditelan zaman.

Kira-kira 20 tahun lalu saya pun tak tahu tentang tekat, tetapi lama-kelamaan dalam industri fesyen, saya belajar dan semakin banyak menimba ilmu pengetahuan tentang tekat, dan saya dapati generasi muda Melayu sudah tak berminat dengan tekat.

Jadi, kalau kita tak memelihara seni fabrik Melayu seperti tekat ini ia akan pupus. Populasi Melayu dalam dunia ini tak ramai, jadi kalau kita tak pelihara seni fabrik turun-temurun Melayu, siapa lagi? Kalau tiada yang mahu memeliharanya, mungkin 20 atau 30 akan datang, seni tekat ini akan pupus.

Bagaimana pula Calvin melihat industri fesyen tanah air pada era endemik ini? 

Saya rasa insya-Allah, dalam era endemik ini lama-kelamaan acara pertunjukan fesyen akan diadakan semula. Sebagai pereka fesyen, bisnes saya sangat bergantung kepada pertunjukan fesyen. Sejak PKP kira-kira dua tahun lalu, ada pakaian rekaan saya terperap di kedai saya ini selama dua tahun itu.

Macam busana pengantin klien saya ada yang terperap selama dua tahun, sebab mereka masih risau nak bersanding walaupun pada November ini, jadi mereka tunda ke Disember nanti atau Januari tahun depan.

Sudah menceburii industri fesyen sejak 18 tahun yang lalu, Calvin mengakui pandemik Covid-19 memberi kesan kepada bisnesnya tetapi beliau tekad akan berusaha untuk bangkit semula dalam era endemik ini.

Sebenarnya ramai yang masih takut dengan virus Covid-19, tapi pandangan saya, kita kena belajar untuk hidup bersama Covid-19. Kita tak boleh selamanya lockdown

Bukan sahaja industri fesyen, semua bisnes di negara ini sangat terkesan dengan pandemik Covid-19. Kalau tiada bisnes, macam mana kita nak cari makan.

Bagi saya, jika bisnes saya hasilkan jualan, ia bukan tentang keuntungan tetapi wang itu adalah untuk gaji pekerja saya (10 orang) dan ahli keluarga mereka, selain bayaran sewa, bil-bil dan sebagainya. Pekerja saya dah macam keluarga saya sendiri. Sepanjang masa sukar, kami hadapi bersama-sama, begitu juga kami kongsikan bersama-sama ketika masa senang. 

Begitu juga dengan kawan-kawan saya. Kami saling menyokong antara satu sama lain. Apa yang penting, kita kena dahulukan orang-orang yang rapat dengan kita, terutama ketika menghadapi tempoh kesukaran ini. Itulah niat saya. – HARAKAHDAILY 27/10/2021

- Advertisement -