Gunung Jerai bakal ada sistem amaran awal bencana

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Kerajaan melaksanakan pelbagai langkah mitigasi bencana di kawasan yang terjejas akibat kejadian kepala air di Gunung Jerai, Kedah, termasuk mengenal pasti tapak yang sesuai untuk membangunkan Sistem Amaran Awal Bencana Geologi.

Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Ali Biju, berkata sistem amaran awal adalah antara tindakan kementerian melalui Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) yang bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi tindak balas lain bagi menangani kejadian bencana itu.

- Advertisement -

Setakat ini, katanya JMG telah melaksanakan analisis geologi, geomorfologi dan geologi kejuruteraan bagi mengenal pasti lokasi cerun di Gunung Jerai yang berisiko terjadi tanah runtuh serta pemetaan aliran puing termasuk mengenal pasti ciri-ciri aliran puing yang terjadi.

“JMG juga sedang menyediakan Laporan Pemetaan Bahaya dan Risiko Cerun di Gunung Jerai yang akan diserahkan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) pada 26 November ini.

“Laporan itu akan membantu NADMA menentukan hala tuju mitigasi yang sesuai dilakukan di kawasan itu,” katanya menjawab soalan Sabri Azit (PAS-Jerai) mengenai tindakan yang diambil terhadap mitigasi kawasan bencana tahap 1 di Gunung Jerai di Dewan Rakyat, hari ini.

Ali berkata, kementerian melalui JMG bersama Kerajaan Kedah akan melaksanakan `Projek Pemetaan Kawasan Bencana Geologi Di Gunung Jerai, Kedah’ bagi mengkaji kejadian tersebut dengan lebih terperinci dan mengenal pasti langkah-langkah mitigasi tambahan yang diperlukan.

Katanya, ini bagi memastikan keselamatan penduduk di kawasan terjejas dapat dijaga dan jika berlaku semula, akan mengurangkan risiko kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda.

Pada masa sama, katanya JMG mengadakan program pemerkasaan komuniti dan kesiapsiagaan masyarakat setempat bagi mengurangkan kesan buruk bencana geologi ke atas masyarakat

Sementara itu, katanya Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah membahagikan pengurusan bencana kepada tiga tahap mengikut skala kejadian dan penyelarasan, iaitu Tahap I (peringkat daerah), Tahap II (peringkat negeri) dan Tahap III (peringkat negara).

“Kejadian tanah runtuh dan aliran puing yang melanda Gunung Jerai pada 18 Ogos lalu adalah kejadian bencana setempat yang terkawal dan tiada potensi merebak, menjadikan pengurusannya mengikut Pengurusan Bencana Tahap I di bawah penyelarasan Pegawai Daerah Yan,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Azit, katanya Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, pada 23 Ogos lalu telah mengumumkan bantuan sebanyak RM75 juta bagi membantu Kedah membaiki kemudahan awam dan infrastruktur di Yan dan Merbuk yang rosak akibat kejadian kepala air itu.

Katanya, dana itu disalurkan kepada Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) bagi kerja menaik taraf sungai dan sistem saliran, pembinaan dua jambatan baharu, loji rawatan air, empangan dan kerja membaiki kemudahan pelancongan desa dan kerja baik pulih bekalan air. – HARAKAHDAILY 27/10/21

- Advertisement -