Senator ingatkan kerajaan tidak pinjam dana asing

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KUALA LUMPUR: Mengambil kira banyak peruntukan kewangan diperlukan kerajaan bagi membantu rakyat, seorang senator mengingatkan kerajaan tidak meminjam dana luar negara.

Senator Mohd Apandi Mohamad berkata, pinjaman dana luar negara akan mendedahkan lagi negara kepada spekulator antarabangsa seperti pernah berlaku pada 1997.

- Advertisement -

Katanya, pinjaman dana dari luar menggunakan matawang asing akan memberi ruang spekulator sehingga negara boleh terperangkap dengan agenda antarabangsa.

“Kalau kerajaan mahu membuat pinjaman lebih daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), jangan ambil dari dana luar negara,” katanya ketika membahas usul Rang Undang-undang (RUU) Akta Langkah-langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19)) pindaan 2021 di Dewan Negara hari ini.

Menurutnya juga sehingga sekarang, kerajaan mengeluarkan berbilion dana bagi membantu rakyat yang bermula dengan Pakej Prihatin.

Seorang lagi Ahli Dewan Negara, Dr Wan Martina Wan Yusoff pula berkata, pasca Covid-19 menyebabkan ramai pengusaha sektor pelancongan, usahawan mikro, industri kecil dan sederhana terjejas.

Katanya, mereka memerlukan sokongan dan bantuan kerajaan untuk ‘bernafas’ semula.

Sedangkan katanya, golongan tersebut merupakan kunci utama pertumbuhan semula ekonomi negara dengan menyediakan pelbagai peluang pekerjaan kepada rakyat.

Menurutnya, bantuan yang diberikan kerajaan perlu sesuai dengan suasana revolusi perindustrian yang menjadi pemangkin utama terhadap pendigitalan teknologi dalam semua sektor perniagaan dan keusahawanan.

“Seperti kita sedia maklum usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) menyediakan banyak peluang pekerjaan. Jika perniagaan mereka terjejas, maka jumlah pengangguran akan bertambah, jadi kerajaan perlu terus memberi sokongan kepada golongan tersebut.

“Tambahan suntikan modal, latihan dan bimbingan yang berterusan terutamanya dari aspek pendigitalan teknologi,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/10/21

- Advertisement -