PAS bantu ibu tunggal mulakan warung makanan

- Advertisement -

TEMERLOH: PAS Kawasan Temerloh telah memberi bantuan sokongan kepada ibu tunggal, Roslelawati Tajudin yang baharu memulakan perniagaan warung makan di bandar ini, di sini baru-baru ini.

Pemberian sumbangan berupa meja, kerusi, dapur dan beberapa peralatan lain itu sebagai galakan terhadap semangat berdikari dan usaha untuk memajukan ekonomi sara diri dan keluarga pasca pandemik.

- Advertisement -

Yang Dipertua PAS Temerloh, Md Jusoh Darus mengetuai serahan dengan turut dihadiri Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan, Siti Baksa Mahidin serta Pengerusi Lajnah Ekonomi dan Usahawan, Baisuddin Ramli.

Roslelawati turut menyediakan perkhidmatan secara bayaran penghantaran terus (COD) selain makan di warungnya (dine-in) yang terletak berhampiran kedai DIY dan Rumah Kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB), di sini.

“PAS sentiasa menyokong dan akan berusaha semampu mungkin untuk membantu rakyat keluar dari kesempitan hidup. Apa yang penting, usahawan perlu rajin dan tidak kenal erti putus asa,” ujar Baisuddin.

Md Jusoh pula memberikan saranan kepada masyarakat setempat untuk menyokong perniagaan para usahawan baharu terutama golongan B40 yang berusaha memajukan ekonomi pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

“Usah terlalu berkira-kira dengan harga, tetapi nilaikanlah dengan kualiti produk disertai dengan niat bersedekah kerana Allah Taala agar kita semua dapat hidup sejahtera dalam rumpun Keluarga Malaysia,” ujarnya.

Bagi perkhidmatan disediakan warung makan Roslelawati boleh terus menghubungi di talian 013-466 0141. HARAKAHDAILY 23/10/2021

- Advertisement -