Dr Suhaini kongsi kegembiraan bersama bonda, keluarga

TOKOH Perdana Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1443H/2021M kali ini dirangkul oleh Presiden Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA), Dato’ Dr Suhaini Kadiman yang juga merupakan Ketua Jabatan Anestesiologi dan Unit Rawatan Rapi di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

Advertisement

Dr Suhaini merupakan anak kelahiran Batu Pahat Johor dan dilahirkan pada 1969. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Limpoon 1, dan Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Bentara Luar Batu Pahat.

Beliau kemudiannya meneruskan pengajian dalam bidang perubatan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan turut menyambung bidang sarjana perubatan Anestesiologi di UKM.

Selain mempunyai lapan beradik, kini Dr Suhaini dikurniakan lima cahaya mata dan tiga daripadanya mengikut jejak langkah Dr Suhaini dalam bidang perubatan.

Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Shah berkenan menyampaikan anugerah Tokoh Perdana Maulidur Rasul itu kepada Dr Suhaini di Istana Negara pada 20 Oktober lalu.

Berkhidmat di IJN selama 21 tahun, beliau merupakan pakar perubatan yang berkarisma dan berkaliber dalam pengamalan perubatan kardiovaskular.

Dr Suhaini juga adalah pengasas lima buah badan bukan kerajaan tempatan termasuk sebagai PAPISMA yang banyak membantu masyarakat dalam menjiwai sistem perubatan selari dengan al-Quran dan Sunah.

Wartawan Harakahdaily, SYAHIRAH SALLEH berkesempatan mewawancara beliau, baru-baru ini.

HARAKAHDAILY: Apa perasaan Dato’ apabila dipilih untuk menerima anugerah Tokoh Perdana Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1443H/2021M?

DR SUHAINI: Pertamanya saya ingin mengucapkan kesyukuran kepada Allah SWT yang mengaturkan dan mengizinkan segalanya, termasuklah anugerah Tokoh Perdana Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1443H/2021M.

Kedua, saya ingin berkongsi rasa gembira, teruja dan terima kasih saya bersama bonda, Hajah Rukiah Dayat yang telah melahirkan, membesar dan mendidik saya selama ini, begitu juga seluruh ahli keluarga dan sahabat rakan taulan yang sentiasa membantu.

Terima kasih juga kepada pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan kerajaan Malaysia di atas pencalonan dan pemilihan ini, sesungguhnya ia adalah di luar dugaan saya.

Sekiranya Dato’ tidak bekerja sebagai pakar anaestologi, apa pekerjaan Dato sekarang?

Saya sepenuh masa bertugas sebagai Pakar Perunding Kanan dan Ketua Jabatan Anestesiologi dan Unit Rawatan Rapi di IJN. Saya juga adalah Pengarah Penyelidikan Klinikal di IJN.

Masa terluang saya penuhi dengan kerja-kerja NGO dan membina rangkaian hubungan dgn pelbagai agensi dan badan kerajaan mahupun bukan kerajaan di dalam mahupun di luar negara.

Bagaimana Dato menjaga jantung Dato’ sendiri dan ahli keluarga? Boleh kongsikan tips untuk memiliki jantung yang sihat?

  1. Amalkan pemakanan seimbang
  2. Kurangkan pengambilan gula
  3. Riadah selama 1 jam sebanyak 1 atau 2 kali seminggu
  4. Uruskan tekanan kehidupan seharian dgn bijak, dibantu solat dan tasbih

Apa persesi Dato’ terhadap jantung?

Jantung kita adalah organ utama yg membekalkan darah, oksigen dan nutrien kepada seluruh tubuh badan kita. Kegagalan kita menjaga kesihatan jantung akan menyebabkan pelbagai jenis sakit jantung. Maka saya menyeru seluruh masyarakat agar memberikan perhatian kpd penjagaan kesihatan jantung kita.

Kenapa Dato’ memilih untuk menjadi pakar dalam bidang anaestologi? Tak ramai yang memilih untuk menjadi pakar anaestologi, apakah keseronokan menjadi salah satu daripadanya?

Bidang anestesiologi adalah satu cabang kepakaran dalam perubatan yang memberikan peranan utama kepada semua jenis pembedahan dan pemulihan daripada pembedahan.

Seorang pakar anestesiologi perlu melengkapkan diri bukan sahaja dengan ilmu dan kemahiran perubatan klinikal, akan tetapi perlu juga mahir ilmu farmakologi, matematik, fizik dan teknologi peralatan perubatan untuk membolehkan beliau memberikan perkhidmatan yang baik.

Ini telah menarik minat, seterusnya membina kerjaya saya dalam bidang anestesiologi sehingga kini.

Boleh Dato’ kongsikan nasihat atau tips kepada bakal doktor di luar sana yang berminat dengan anaestologi?

Saya amat menggalakkan dan menjemput doktor muda untuk melanjutkan kepakaran dalam bidang ini. Mulakan inisiatif dengan mendapatkan peluang penempatan di jabatan-jabatan anestesiologi dan unit rawatan.

Belajar daripada mentor yang boleh membimbing dengan baik. Bidang kepakaran ini boleh dilakukan sama ada melalui program saster universiti-universiti tempatan ataupun melalui program parallel fellowship UK, Ireland, Australia atau New Zealand.

Sebagai seorang pakar, dalam masa sama giat dalam PAPISMA, tentunya Dato’ memiliki jadual yang padat dan sangat sibuk. Apakah perkara yang Dato’ cuba untuk capai kebelakangan ini?

Setiap manusia Allah kurniakan masa yang sama 24 jam sehari. Namun ia bergantung kepada bagaimana kita menggunakan masa yang terhad tersebut sebaiknya untuk mencapai objektif tertentu. Kita perlu bijak mengurus dan memberikan keutamaan, malahan juga perlu pandai synergise and leverage.

PAPISMA perlu memainkan peranan yang lebih significant dalam membantu Keluarga Malaysia pulih daripada kesan pandemik Covid-19, seterusnya membina masyarakat yang sejahtera melalui pelbagai aktiviti yang diaturkan sama ada secara bersendirian ataupun secara gabungan degan pertubuhan-pertubuhan, agensi-agensi kerajaan ataupun kementerian-kementerian.

Selama 21 tahun di IJN, berkhidmat kepada rakyat, apakah nasihat Dato’ untuk penjawat awam profesional di luar sana?

Sebagai profesional kita hendaklah sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan terbaik mungkin walaupun pada situasi yang sukar dengan pelbagai kekangan dan halangan. Berbekalkan kesabaran dan doa, insya-Allah, Allah akan permudahkan urusan kita.

Sepanjang berkhidmat, apa antara prinsip yang dipegang oleh Dato’?

SunnatulLah itu adalah sains kehidupan. Setiap kejadian yang berlaku pastinya ada penjelasan dan kefahaman.

Mungkin Dato’ ada beberapa pesanan dan harapan untuk hendak disampaikan kepada rakyat Malaysia, boleh Dato’ kongsikan?

Malaysia berada dalam fasa pemulihan daripada pandemik Covid-19. Setiap individu hendaklah berusaha membantu keluarga kita atau kenalan kita untuk bangkit mengatasi kesan daripada pandemik. Kesan terbesar adalah kesan tekanan mental.

Ini boleh dilaksanakan melalui bantuan psikososial berdasarkan konsep EARS iaitu rasa empati, atensi, responsif dan suportif. PAPISMA sedang melaksanakan latihan Skuad Waja untuk melatih masyarakat memberikan bantuan psikososial kepada mereka yang memerlukan. Sertailah Skuad Waja PAPISMA melalui FB PAPISMA.

Dato’, kini rakyat sudah mula bebas. Kita juga akan beralih ke fasa endemik, Dato’ ada nasihat untuk rakyat Malaysia?

Pastikan kita dan keluarga kita telah menerima suntikan vaksin covid 19 yang lengkap. Amalkan norma baru seperti pemakaian pelitup muka, cuci tangan dan penjarakan sosial. Jika alami simptom seperti demam, sakit tekak dan sesak nafas maka lakukan ujian saringan Covid 19. Gunakan MySejahtera.

Saya lihat, PAPISMA juga aktif memberi kesedaran dan tanggungjawab orang awam terhadap pesakit mental, mungkin Dato’ boleh komen sikit.

Konsep Keluarga Malaysia menuntut kita untuk sentiasa prihatin dengan ahli keluarga dan rakan-rakan. Jika kita mengesan tanda-tanda seperti perubahan sikap, terutamanya tekanan perasaan dan kemurungan, maka kita perlu cakna.

Berikan bantuan atau rujuk kepada pihak yang mahir. Semoga kesan mental tersebut tidak melarat sehingga menjadi aktiviti jenayah, keganasan rumah tangga ataupun bunuh diri.

Pada pemerhatian kami, kini orang semakin cakna dengan isu kesihatan mental. Cuma, bagaimana untuk bertindak sekiranya ada mengenali pesakit itu masih sedang diusahakan. Mungkin Dato’ boleh kongsikan bagaimana caranya.

Dr Suhaini Kadiman

Masyarakat boleh dilatih untuk membantu orang yang kita sayangi. Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Pembangunan Wanita, dengan kerjasama PAPISMA, telah melaksanakan program Jelajah Skuad Waja untuk melatih seramai 100,000 orang yang akan dilatih untuk mengenal tanda-tanda dan memberikan bantuan psikososial kepada masyarakat.

Semoga kumpulan ini menjadi pemangkin kepada perubahan besar kepada masyarakat sejahtera yang bebas daripada masalah kesihatan mental seterusnya menghasilkan sebuah negara yang baik dan dirahmati. – HARAKAHDAILY 24/10/2021