Sabah letak harapan tinggi realisasi Perjanjian 1963

- Advertisement -

KOTA KINABALU: Sabah meletakkan harapan amat tinggi untuk mengembalikan hak-hak rakyat negeri itu seperti mana yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ketua Menteri Dato’ Seri Hajiji Noor berkata, ia juga selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan berharap agar tuntutan Sabah dan Sarawak dapat disegerakan kerajaan Persekutuan.

“Saya ingin menegaskan bahawa kami komited dalam memastikan hak-hak Sabah yang termaktub dalam MA63 akan terus diperjuangkan sehingga ditunaikan,” katanya di sini.

- Advertisement -

Sebelum itu beliau menghadiri mesyuarat Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) Bilangan 3 Tahun 2021 diadakan secara maya dipengerusikan Perdana Menteri Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob.

Turut hadir temasuk Ketua Menteri Sarawak Dato’ Patinggi Abang Johari Openg, Timbalan Ketua Menteri lI Sabah Dato’ Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Dato’ Seri Panglima Masidi Manjun dan Menteri Kerjaraya Dato’ Fadillah Yusof.

Sebelum ini perdana menteri memberi jaminan untuk menyelesaikan isu-isu MA63 yang tertunggak melalui Majlis Khas MA63 (MKMA63).

MKMA63 turut membabitkan Ketua Menteri Sabah dan Sarawak serta lapan menteri Persekutuan. Majlis khas itu ditubuh Kerajaan Perikatan Nasional (PN) bagi mengkaji, meneliti dan mencari jalan penyelesaian terhadap tuntutan dan hak-hak Sabah dan Sarawak.

Hajiji yang juga Pengerusi Bersatu Sabah berkata, perbincangan isu tersebut diharap membuah hasil seperti dihasratkan rakyat bagi menikmati pembangunan yang lebih rancak.

“Mandat yang diamanahkan akan kami sempurnakan demi tanah tumpah negeri kita. Pelbagai perkara kami sentuh dalam mesyuarat kali ini terutamanya berhubung isu-isu kedudukan Sabah dan Sarawak yang perlu diselesaikan segera,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 19/10/2021

- Advertisement -