Kajian perlu dibuat terhadap golongan antivaksin

Gambar hiasan.
- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR: Kajian harus dibuat oleh kerajaan terhadap golongan antivaksin kerana paksaan tidak akan menyelesaikan masalah, malah rakyat akan semakin memberontak apabila ditekan.

Seorang penduduk yang ditemuramah di sini, hari ini,  Mus’ab Ahmad berkata, kerajaan tidak akan dapat menyelesaikan isu ini dengan baik jika memaksa rakyat untuk menerima suntikan vaksin.

- Advertisement -

“Pada pendapat saya, mereka perlu membuat kajian terhadap golongan antivaksin ini, kaji kenapa mereka menolak kaedah rawatan melalui vaksinasi.

“Mungkin ada yang menolak vaksinasi kerana masalah kesihatan dan kesan sampingan yang terjadi selepas divaksin,” ujarnya.

Menurut beliau lagi, individu yang memilih untuk divaksin perlu menandatangani surat persetujuan sebelum menerima suntikan tersebut dan perlu menerima kesan sampingan sendiri.

“Sepatutnya kerajaan perlu bertanggungjawab jika berlaku kesan sampingan terhadap rakyat divaksin bukannya mencari alasan lain jika timbul kesan sampingan.

“Kerajaan juga perlu telus terhadap data dan fakta yang disampaikan kepada orang ramai. Contohnya jumlah orang yang sudah meninggal dunia akibat daripada pengambilan vaksin dan sebaliknya.

“Oleh itu, rakyat akan melihat sendiri dan ini dapat menambahkan keyakinan mereka terhadap vaksin,” katanya.

Terdahulu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen), Dato’ Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan suntikan vaksin melalui Program Imunisasi Kebangsaan dibuat secara sukarela ke atas individu yang tersenarai.

Baru-baru ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pula berkata kerajaan akan menyusahkan kehidupan harian golongan antivaksin sekiranya mereka terus menolak untuk menerima vaksin suntikan tersebut.

Sebaliknya, Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob  selepas majlis Pemakaian Pangkat Ketua Polis Daerah Bera dan Timbalan Ketua Polis Daerah Bera di Pahang, semalam berkata, kerajaan bukan berniat mahu menyusahkan mana-mana pihak dengan mengenakan pelbagai peraturan ketika menangani pandemik Covid-19, namun mahu melindungi golongan majoriti rakyat yang sudah lengkap divaksin.

“Golongan antivaksin ini juga hanya menyusahkan diri sendiri kerana tidak menikmati kemudahan yang diberikan kerajaan berbanding mereka yang telah lengkap vaksinasi,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/10/2021

- Advertisement -