Jangan abaikan pendidikan agama dan moral

Dato' Ahmad Yahaya
- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

KUALA LUMPUR: Pendidikan agama dan moral perlu dipertingkatkan secara seimbang dengan usaha kerajaan memperhebatkan kemajuan pendidikan berasaskan sains dan teknologi.

Senator Ahmad Yahaya, berkata tidak dapat dinafikan bahawa sains dan teknologi penting bagi melahirkan graduan berkemahiran tinggi, terutama untuk memenuhi kehendak Revolusi Perindustrian 4.0.

- Advertisement -

Katanya, era digitalisasi dan Revolusi Perindutrian 4.0 menyebabkan kerajaan melakukan pelbagai usaha untuk membangunkan sistem pendidikan berasaskan sains dan teknologi.

“Di peringkat sekolah, subjek sains, teknologi kejuruteraan dan matematik, diberikan perhatian yang khusus. Di peringkat pasca sekolah, kita memberikan perhatian kepada sistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional TVET.

“Di peringkat lebih tinggi, kita memberikan perhatian kepada isu kesepadanan graduan yang menepati kehendak pasaran dan industri,” katanya ketika sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Negara, hari ini.

Ahmad berkata, subjek dan sistem pendidikan negara distruktur bagi memenuhi kehendak pasaran semasa menyebabkan perubahan yang berlaku terlalu ketara sehingga timbul cadangan supaya subjek teras yang tidak berkaitan kehendak pasaran perlu dimansuhkan.

Bagaimanapun, katanya sistem pendidikan Islam perlu diperkemas serta ditambah nilai untuk memupuk nilai jati diri agama dan integriti yang kuat supaya generasi akan datang menolak rasuah dan sebarang bentuk perbuatan salah laku.

“Kita mahu melahirkan jurutera berkemahiran tinggi dengan menstrukturkan semula sistem pendidikan menjurus ke arah Revolusi Perindustrian 4.0.

“Sejujurnya saya menyokong usaha yang dilakukan demi mencapai sasaran negara, tetapi harus diingat kita perlu memastikan pendidikan agama dan moral juga perlu dipertingkatkan secara seimbang,” katanya.

Beliau berkata, kebimbangan sekarang ialah nilai akhlak serta adab dalam kalangan sesetengah rakyat kian terhakis akibat kurang penghayatan terhadap pendidikan agama dan moral.

“Harus diingat tanpa agama dan akhlak, bangsa akan hilang, kewibawaan akan lenyap. Seperti pesanan penyair Arab, Ahmad Syauqi yang menyebut, ‘Sesungguhnya sesuatu bangsa bertahan selama mana kekal akhlaknya, sebaliknya bangsa akan hilang apabila hilang juga akhlaknya’,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/10/21

- Advertisement -