Rosol hormat Dato’ Husain Awang di Dewan Negara

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, memberi penghormatan kepada Senator Dato’ Husain Awang, sebelum menjawab soalan tambahan Pesuruhjaya PAS Terengganu di Dewan Negara, hari ini.

“Dato’ adalah guru saya,” kata Dato’ Rosol Wahid, lalu menjawab soalan Dato ‘ Husain, mengenai kerjasama kementerian dan pelbagai agensi penguatkuasa lain seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di kawasan sempadan negara.

- Advertisement -

Katanya, tindakan penguatkuasaan dengan kerjasama agensi penguatkuasaan sempadan seperti Pasukan Polis Marin (PPM), ATM, Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), JKDM dan agensi penguatkuasa lain, dilakukan melalui operasi bersepadu.

“Usaha itu bertujuan mengelakkan penyeludupan barangan seperti beras dari Thailand ke negara ini dan juga barangan yang disubsidikan ke negara jiran itu,” katanya.

Menjawab soalan lisan asal Senator Datuk John Ambrose, Rosol berkata, antara pendekatan kerajaan untuk membanteras ketirisan barang kawalan di sempadan negara ialah membuat tindakan secara due diligence dengan mengadakan pengauditan di setiap rantaian pengedaran barang kawalan.

Katanya, kementerian juga menggantung atau menarik balik kuota di bawah Skim Penstabilan Minyak Masak (COSS) dan pemegang Lesen CSA dalam tempoh siasatan ke atas syarikat yang disyaki melakukan aktiviti penyelewengan subsidi minyak masak dan barang kawalan berjadual lain sebagai langkah tegas terhadap pihak yang melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

“OPS AMPAI juga dilancarkan bagi menangani penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi dengan sektor dobi layan diri yang menggunakan LPG bersubsidi dijadikan sasaran untuk bertukar menggunakan LPG industri dalam operasi syarikat,” katanya.

Rosol berkata, kementerian juga melaksanakan OPS GORENG bagi menangani penyelewengan minyak masak bersubsidi dengan menggempur kilang dan pembungkus minyak masak di seluruh negara.

Katanya, pindaan juga dibuat terhadap Akta Kawalan Bekalan 1961 untuk memperketatkan penguatkuasaan dan tindakan undang-undang terhadap sesiapa yang melakukan kesalahan penyeludupan barang kawalan.

Selain itu, katanya kertas siasatan di bawah pencegahan penggubahan wang haram dibuka, melibatkan kes ketirisan barang kawalan. – HARAKAHDAILY 13/10/21

- Advertisement -