Bantu pemulihan rakyat dari impak pandemik

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pindaan Akta Langkah-langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19)) diharap akan menjayakan pemulihan ekonomi dan meningkatkan taraf kesihatan rakyat.

Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS-Sik) menegaskan, sangat penting disampaikan segala peruntukan berkaitan ke peringkat bawah sehinggalah rakyat merasai prihatinnya kerajaan untuk memulihkan keadaan rakyat dan negara kita. 

“Pertama, saya ingin membangkitkan berkaitan dengan isu graduan kita, khususnya sebahagian besar graduan kita yang masih lagi belum memperoleh pekerjaan akibat keadaan ekonomi yang lembap. 

- Advertisement -

“Sudah pastilah bagaimana kerajaan melihat untuk menggalakkan penggunaan aplikasi dalam talian bagi pembangunan usahawan techno ini terutamanya di kalangan graduan belia ini. 

“Ketika mana hari ini teknologi-teknologi termasuk drone, internet of things, sensor dalam pertanian dan juga dalam perladangan dapat membantu menarik minat golongan graduan kita untuk menceburi bidang pertanian dengan lebih dekat,” ujarnya membahas pindaan tersebut di Dewan Rakyat, di sini kelmarin.

Beliau juga menyentuh berkaitan institusi keluarga semasa pandemik ini yang dilaporkan jumlah peningkatan sangat tinggi kes-kes penceraian dan juga keganasan rumah tangga. 

Tarmizi meminta kerajaan memperuntukkan pemberian insentif kepada pasangan-pasangan bagi memastikan rumah tangga yang lebih baik dalam kalangan mereka yang akan melangsungkan perkahwinan atau memulakan kehidupan baru. 

“Begitu juga dalam bantuan awal perniagaan kepada usahawan-usahawan wanita, ibu-ibu tunggal yang juga terkesan apabila sebahagian mereka tidak dapat meneruskan perniagaan ketika mana berlaku pandemik ini. 

“Sudah pastilah kerajaan perlu melihat dengan lebih terperinci dengan kementerian-kementerian yang berkaitan untuk membantu mereka ini usahawan-usahawan desa, usahawan-usahawan yang terlibat langsung dengan perniagaan di pasar malam, di pekan sehari dan sebagainya. 

“Seterusnya, begitu juga dengan usahawan keseluruhannya. Bagaimana kerajaan melihat pembentukan polisi bagi memantau dan menyelaras pengendali aplikasi online yang mengaut keuntungan dengan sewenang-wenangnya melalui kenaikan caj perkhidmatan harga dari kedai-kedai pembekal. 

“Ini yang dirungut oleh usahawan-usahawan kita yang terlibat dengan aplikasi jualan online ini. Mereka telah pun sangat terkesan apabila syarikat-syarikat pengendali ini secara tidak langsung cuba menekan mereka atas keperluan yang sangat tinggi, pengguna yang menggunakan aplikasi online ini,” gesanya.

Beliau juga mahu kerajaan mempertingkatkan keupayaan infra di hospital-hospital dan juga di klinik-klinik dengan mengambil persediaan menangani penggunaan kapasiti di wad Unit Rawatan Rapi (ICU).

Perhatian juga pintanya, kepada aspek sumber manusia dalam kalangan 

pegawai-pegawai kesihatan, selain turut mencadangkan kos vaksinasi dikenakan kepada bukan warganegara yang bersedia membayar.

Kerajaan juga harap beliau, supaya memberi perhatian terhadap peningkatan rakyat yang beralih daripada M20 kepada B40 antaranya 400,000 pekerja warganegara ini di mana berulang alik ke Singapura.

“Bagaimana kerajaan dapat melihat dan membantu mereka kerana mereka menghadapi situasi yang sukar, hilang pekerjaan, komitmen yang tinggi daripada segi pinjaman rumah, kereta dan sebagainya,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 13/10/2021

- Advertisement -