Sasar 100 kg minyak masak terpakai setiap Parlimen

- Advertisement -

TANJUNG MALIM: Persatuan Rekreasi dan Riadah Anak Perak bersama Kelab Belia Malim Nawar mensasarkan ‘Satu Parlimen, 100 Kilogram Minyak Masak Terpakai’ melalui kempen pengumpulan minyak masak terpakai.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Sains dan Teknologi Hijau, Ustaz Mohd Akmal Kamarudin berkata, kerajaan negeri menyambut baik usaha yang dijalankan selari dengan Kempen Perak Bumi Lestari.

- Advertisement -

“Program mengumpul minyak masak terpakai (O-Waste) hari ini dapat dikumpulkan dalam 600 kilogram (kg) dan lebih kurang 50 kg satu daerah dan mewakili kerajaan negeri kita memberi sokongan penuh.

“Kempen seperti ini perlu dipergiat lagi memandangkan kesedaran orang ramai terhadap sisa buangan minyak masak masih lagi rendah dan saya menyeru untuk lebih banyak badan bukan kerajaan (NGO) tampil mempergiat program seperti ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Kempen Pengumpulan Minyak Masak di Malim Nawar, di sini baru-baru ini.

Merujuk kepada kejayaan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan pengumpulan barang buangan elektrik dan elektronik (e-sisa), beliau membayangkan pendekatan sama mungkin akan digunakan dalam menjayakan kempen o-waste.

“Kita lihat o-waste ini setiap rumah ada dan kita akan giatkan dengan pendekatan sama di masa akan datang dalam usaha menjaga alam sekitar,” katanya.

Terdahulu, beliau turut menyempurnakan majlis pecah tanah Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam (SMITI) Darul Muttaqin, juga di sini. – HARAKAHDAILY 13/10/2021

- Advertisement -