Jangan tinggal usrah masa di universiti – Ustaz Tarmizi

- Advertisement -

PAYA BESAR: Ameerah Kawasan Paya Besar telah mengadakan program penyerahan sumbangan ‘I Love University 2021’ kepada 69 pelajar anak tempatan yang telah menerima tawaran ke Institut Pengajian Tinggi, dalam satu majlis dalam talian baru-baru ini.

Program secara atas talian ini telah dirasmikan ADUN Panching, Ustaz Mohd Tarmizi Yahaya dan turut dihadiri Ketua Muslimat PAS Paya Besar, Ustazah Norzilah Hussin dan Timbalan Pengarah Ameerah Negeri Pahang, Ustazah Siti Hajar Hasan Basri.

- Advertisement -

Sempena majlis ini, turut diadakan sesi pengisian khas dari  Pensyarah Fakulti Pengkomputeran Universiti Malaysia Pahang (UMP), Dr Syifak Izhar Hisham yang mengupas tajuk ‘Kampus Life Style, I’m Owesome Student’

Perkongsian beliau menjurus kepada pengalaman dan motivasi bagi menaikkan semangat bakal mahasiswa yang akan menempuh satu lagi alam baharu di mana pastinya banyak ujian dan cabaran serta beberapa nasihat sangat baik untuk para peserta. 

Ustaz Mohd Tarmizi dalam pada itu berharap hubungan baik di antara senior yang telah tamat pengajian dengan adik-adik yang akan menyambung pengajian sangat penting, kerana dunia universiti ada banyak cabarannya. 

“Cabaran yang paling besar ialah cabaran jiwa dan iman kita. Hubungan dengan kakak-kakak senior ini, moga-moga matlamat kita di universiti untuk belajar benar-benar tercapai. Dapat kita jayakan. Bukan kita pergi dan gagal di tengah jalan. 

“Ramai pelajar-pelajar cerdik di sekolah menengah tetapi melanjutkan pengajaran di peringkat universiti, gagal. Kerana mereka terkejut dengan budaya baru, bebas, duit urus sendiri, bebas buat keputusan sendiri.

“Mereka pilih kawan-kawan yang tidak betul, tak ikut jemaah, tidak ikut usrah, tidak ikut program-program yang baik ini akan akhirnya akan terlalai dan tersesat jalan. Jadi, dengan adanya ikatan untuk pelajar-pelajar baru yang masuk universiti dengan kakak-kakak senior yang dapat membantu.

“Kamu ini merupakan masa depan, bukan semata-mata bagi ibu bapa, tetapi masa depan bagi ummah dan masa depan bagi agama. Masa depan bagi agama ni merupakan tanggungjawab dan bebanan yang besar. 

“Kita kena ada persediaan yang benar-benar mantap. Bukan sahaja dari sudut ilmu, tetapi juga dari sudut jiwa, iman serta rohani, supaya berdepan dengan medan cabaran yang ada ni, kita berjaya mengharungi dengan sebaik-baiknya,” ujar beliau.

Ustaz Tarmizi juga mengingatkanagar para pelajar yang menyambung ke pengajian ini tidak meninggalkan usrah. – HARAKAHDAILY 13/10/2021

- Advertisement -