Buka sempadan negeri: Bukan tiket untuk rakyat berasa selesa

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Rakyat Terengganu dinasihat supaya tidak leka dan terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan apabila sempadan negeri mula dibuka dalam tempoh terdekat.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata ia bukanlah tiket untuk rakyat berasa selesa dan mengambil mudah risiko jangkitan Covid-19 yang pada ketika ini masih mencatat bilangan kes yang tinggi.

- Advertisement -

“Tetapi mahu atau tidak itulah situasi yang kita perlu hadapi bukan sahaja di Terengganu malah di negeri lain.

“Untuk itu kita perlu melakukan persediaan mental dan fizikal kerana bakal hidup dalam suasana endemik yang pastinya sangat mencabar,” katanya selepas merasmikan Hari Sukan Negara (HSN) 2021 Peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Zahari Md. Azahar dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.

Kadar vaksinasi dewasa rakyat Terengganu pada masa ini adalah sekitar 85 peratus dan dijangka mencapai tahap 100 peratus tidak lama lagi.

“Banyak pusat pemberian vaksin (PPV) yang menjalankan operasi pada hari minggu. Oleh itu kita jangka semua golongan dewasa di negeri ini akan mendapat vaksinasi lengkap dalam tempoh terdekat,” kata Ahmad Samsuri. – BERNAMA

- Advertisement -