MP hargai netizen tegur pemandu potong garisan berkembar

Datuk Ahmad Marzuk Shaary
- Advertisement -

KOTA BHARU: Ahli Parlimen (MP) Pengkalan Chepa merakam ucapan terima kasih kepada mereka yang merakam dan menegur kesalahan yang membabitkan seorang kakitangannya.

Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, beliau amat menghargai teguran dan nasihat yang diberikan, sama ada secara terus atau melalui komen di media sosial mengenai kejadian yang berlaku.

Katanya sebagai seorang insan yang tidak sempurna beliau mengambil tanggungjawab atas teguran yang diberikan, dan menjadikan ia sebagai penambahbaikan.

- Advertisement -

“Setiap orang tidak lari dari kesalahan, dan perlu ada insan lain yang menegur kesalahan tersebut. Setiap teguran adalah penambahbaikan, terutama kepada seorang pemimpin,” katanya pada kenyataan di laman sosialnya hari ini.

Baru-baru ini tular kenderaan seorang timbalan menteri dikatakan memotong di garisan berkembar di Jalan Bukit Marak-Binjai di Cabang Tiga Gong Dermin dekat sini.

Bagaimanapun menurut laporan media kenderaan itu hanya dinaiki pemandu dalam perjalanan mengambil ahli politik terbabit.

Ahmad Marzuk juga berkata, insiden tersebut tersebut dalam siasatan pihak berkuasa.

“Staf yang terlibat juga dipanggil memberikan keterangan. Saya serahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk tindakan sewajarnya.

“Dan sekiranya dikenakan hukuman, semoga ia menjadi asbab kebaikan dan penambahbaikan buat beliau dan saya sendiri.

“Biarlah hukuman itu di atas dunia, andai dengan sebab itu, ia melepaskan kami dari hukuman di akhirat,” ujarnya.

Daripada Aisyah R.A, ia berkata; Rasulullah SAW pernah bersabda: “Apabila Allah menghendaki kebaikan pada diri seorang pemimpin, maka Dia menjadikan bagi orang itu pembantu yang jujur.

Jika pemimpin itu lupa, maka ia akan mengingatkannya. Jika ia ingat, maka pembantu itu akan membantunya. Apabila Allah menghendaki keburukan pada diri seorang pemimpin, maka Allah menjadikan baginya pembantu yang tidak baik.

Jika ia lupa, maka ia tidak akan mengingatkannya. Jika ia ingat (lakukan perkara yang betul), maka pembantu itu tidak akan membantunya”. (HR Abu Dawud).

Rasulullah s.a.w bersabda: “Apabila Allah menginginkan kebaikan kepada hamba-Nya, Allah akan segerakan saksi untuknya di dunia. Dan apabila Allah menginginkan keburukan kepada hamba-Nya, Allah akan menahan azab baginya akibat dosanya (di dunia), sampai Allah membalasnya (dengan sempurna) pada hari Kiamat.” (HR At-Tirmidzi dan Al Hakim dari Anas bin Malik).

“Saya memohon ribuan kemaafan atas isu yang timbul. Semoga peristiwa itu memberi peluang untuk kami terus menjalankan tugas dengan penuh jujur dan berintegriti, demi rakyat Malaysia,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 28/9/2021

- Advertisement -