P. Pinang perlu teliti kesan, keperluan bina jambatan ketiga

- Advertisement -

NIBONG TEBAL: Kerajaan Pulau Pinang dinasihatkan agar meneliti beberapa perkara dari aspek kesan ekonomi sosial, persekitaran dan analisis kos manfaat, sebelum meneruskan dengan perancangan membina jambatan ketiga bagi menggantikan terowong dasar laut, kata Menteri Kanan Kerja Raya Dato’ Seri Fadillah Yusof.

“Dalam pelaksanaan apa-apa projek, kita perlu lihat beberapa perkara khususnya kajian awal tentang keperluan projek ini, dan seterusnya aspek kesan ekonomi sosial, persekitaran dan analisis kos manfaat.

- Advertisement -

“Saya enggan mengulas lanjut kerana setakat ini, pihak kementerian tidak ada menerima permohonan rasmi dari kerajaan negeri,” katanya dalam satu sidang media selepas menyempurnakan penyerahan projek naik taraf Laluan Persekutuan FT001 serta projek naik taraf jambatan FT.001/724/5 di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Ketua Menteri Chow Kon Yeow sebagai berkata kajian kebolehlaksanaan projek terowong dasar laut telah siap, dan akan dibentangkan kepada Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak lama lagi, sejurus segala ulasan daripada agensi teknikal, termasuk agensi-agensi persekutuan, diterima.

Chow turut berkata bahawa kerajaan negeri tidak menolak kemungkinan membina jambatan sebagai hubungan laluan ketiga bagi menggantikan projek terowong dasar laut, namun ia belum lagi dipertimbangkan.

Sementara itu, Fadillah berkata Kementerian Kerja Raya komited untuk memainkan peranan sebagai penggerak ekonomi negara, di mana sektor pembinaan menyumbang sebanyak 4.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

“Setiap RM1 juta yang kementerian peruntukkan untuk sektor ini, mempunyai kesan pengganda sekurang-kurangnya 2.8 kali.

“Sektor pembinaan adalah sangat penting, kerana ia mempunyai kesan limpahan ke atas sektor lain seperti sektor perkhidmatan dan perbankan,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -