Pemuda PAS Perlis cuci percuma rumah penduduk

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

ARAU:
Dewan Pemuda PAS Perlis mengambil inisiatif menganjurkan program gotong-royong membersihkan kawasan rumah penduduk sebulan sekali.

Ketuanya Muhammad Azmir Azizan berkata, program itu diadakan bagi merapatkan hubungan dengan masyarakat setempat.

Kata beliau, program terbabit diadakan sebulan sekali di kawasan perumahan yang memerlukan khidmat pembersihan secara percuma bermula bulan ini.

- Advertisement -

“Gotong royong di Arau diadakan di Kampung Mengkuang Layar, manakala Padang Besar di Kampung Padang Lati, Santan.

“Program yang diadakan tersebut merupakan satu lagi aktiviti turun padang pemuda PAS negeri bersama penduduk tempatan,” katanya di sini semalam.

Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Arau, Amrul Amri Chan pula berkata, program bersifat kemasyarakatan itu bertujuan mendekatkan lagi pemuda PAS dengan masyarakat.

Menurutnya juga pelbagai program bersama masyarakat dilaksanakan antaranya penyerahan sumbangan, membantu usahawan kecil, program pengisian petrol dan cuci motosikal percuma.

“Mesej yang ingin kita sampaikan supaya rakyat mendekati PAS kerana parti itu sentiasa mengutamakan agenda kebajikan rakyat.

“Alhamdulillah, meskipun sentiasa menjadi sasaran musuh politik, namun sekarang rakyat semakin mengenali wajah sebenar PAS sehingga semakin ramai mulai berjinak-jinak dengan parti itu,” katanya.

Program gotong royong itu diadakan dengan kerjasama Jabatan Pilihan Raya PAS Perlis. Mereka melaksanakan aktiviti mengemas dan mencuci kediaman serta memotong rumput di beberapa rumah penduduk. – HARAKAHDAILY 28/9/2021

- Advertisement -