Emas Paralimpik: Perlis sumbang RM150,000 kepada Abdul Latif

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Kejayaan Abdul Latif Romly meraih pingat emas pada Sukan Paralimpik Tokyo, Jepun 4 September lalu turut mendapat perhatian kerajaan Perlis.

Menteri Besar Dato’ Seri Azlan Man berkata, di atas kejayaan membanggakan itu kerajaan negeri bersetuju memberi sumbangan bernilai RM150,000 sebagai motivasi kepada jaguh negara tersebut mencipta lebih banyak pingat.

- Advertisement -

“Semoga usaha ini akan menjadi suntikan semangat kepada beliau untuk mendapat lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.

“Saya difahamkan pada tahun depan beliau akan mengambil bahagian dalam sukan yang diceburi di peringkat antarabangsa,” katanya selepas penyerahan cek di Pejabat Menteri Besar Perlis di sini hari ini.

Abdul Latif, 24, berjaya mengekalkan pingat emas yang dimenanginya lima tahun lalu di Paralimpik Rio 2016 apabila melakukan lompatan sejauh 7.45 meter dalam aksi akhir yang berlangsung di Stadium Olimpik Tokyo.

Pencapaian cemerlang Abdul Latif membuktikan Malaysia mampu melahirkan atlet dan individu yang berkualiti dan bertaraf antarabangsa.

Anak jati yang berasal dari Kampung Paya Kelubi, Arau itu tidak mengalami sebarang kecacatan fizikal, namun mengidap ketidakupayaan intelektual (masalah pembelajaran) yang turut dikategorikan sebagai kurang upaya.

Azlan turut merakam penghargaan kepada ibu bapa atlet terbabit yang sentiasa memberi sokongan dan dorongan serta doa kepada anaknya bagi menempa kejayaan di peringkat antarabangsa.

“Abdul Latif masih muda dan masih mempunyai banyak masa untuk mencapai kemenangan yang seterusnya,” ujarnya.

Menteri Besar turut mengumumkan untuk mewujudkan Anugerah Olahragawan dan Olahragawati Negeri bermula tahun hadapan. – HARAKAHDAILY 28/9/2021

- Advertisement -