Guru mestilah menjadi murabbi membentuk pelajar

- Advertisement -

KUANTAN: Para guru mestilah memiliki niat menjadi pendidik dan murabbi serta melengkapkan diri kepada lima makna tarbiyah dan jelas bahawa mereka memikul matlamat pembentukan masa depan pelajar-pelajar.

- Advertisement -

Pendakwah tanah air, Ustazah Dato’ Dr Norhafizah Musa meluruskan hala tuju dan fokus itu serta merangsang komitmen para guru pada program Bicara Pendidik anjuran Lajnah Pendidikan Muslimat PAS Negeri Pahang, kelmarin dahulu.

“Kerana masih ada yang sudah 10 tahun menjadi guru, tetapi masih berkata sebenarnya tidak bercita-cita menjadi pendidik!

“Maknanya, ada dalam kalangan guru, bekerja semata-mata untuk makan gaji dan terlupa bersyukur yang mereka telah dimuliakan Allah S.W.T sebagai pendidik,” ujarnya.

Menghurai makna tarbiyah, para pendidik seru beliau, mestilah menjadi murabbi yang ziyadah; iaitu memberi nilai tambah atau membawa perubahan lebih baik terhadap anak-anak pelajar dalam pembelajaran atau didikannya.

Kedua menurutnya, naqiyah yakni membawa penyucian jiwa dan rohani di mana setiap pembelajaran dikaitkan dengan mentauhidkan Allah S.W.T dan bukannya memisahkan murid daripada kebesaran Ilahi.

“Ketiga, tazhziyah yang bermaksud rimbunan iaitu kerja mendidik ini sesuatu yang menyeronokkan di mana antara murid dan guru saling ada ikatan kasih sayang.

“Keempat, riayah adalah pemantauan iaitu terhadap pembentukan sahsiah pelajar ke arah menjadi khalifah Allah S.W.T, hamba Allah dan melaksanakan amanah-Nya.

“Dan kelima, muhafazah iaitulah penjagaan agar tidak tersasar dari matlamat yang telah ditetapkan,” ujarnya pada program secara dalam talian menggunakan aplikasi Zoom ini.

Beliau yang juga pembimbing pelatih di Konsultan Daraini Management Academy dan Airbone Discovery Sdn Bhd turut mengingatkan para guru bahawa ketika mereka sedang mendidik, sebenarnya Allah juga sedang mendidik diri mereka.

Pengerusi Lajnah Pendidikan Muslimat PAS Pahang, Ustazah Faezah Mohammad Sedir berkata, program ini bertujuan memberi suntikan semangat kepada warga pendidik yang sedang berdepan kemelut Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Naib Ketua Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Salamiah Mohd Nor terdahulu telah merasmikan program dengan mengingatkan para guru bahawa mereka diberikan amanah pendidikan di dunia dengan matlamat mencapai redha Allah.

“Pendidikan adalah proses yang berterusan dan berpanjangan selagi masih hidup. Kita tidak dapat lari dari amanah ini sama ada secara rasmi atau tidak,” ujarnya yang juga Ketua Muslimat PAS Pahang. – HARAKAHDAILY 28/9/2021

- Advertisement -