Kerajaan tumpu kawasan vaksinasi rendah di Kedah

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

PENDANG: Program Outreach Vaksinasi Covid-19 di Dewan Perumahan KEDA, Tanjung Setul, Jenun di sini, adalah antara usaha kerajaan untuk meningkatkan kadar vaksinasi di kalangan penduduk daerah ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dato’ Awang Hashim, berkata ini merupakan inisiatif kementeriannya berikutan kadar vaksinasi daerah ini masih rendah.

- Advertisement -

Katanya, ini berdasar kenyataan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, bahawa kadar vaksinasi penduduk dewasa yang layak daerah ini masih di tahap rendah, iaitu hanya 51.16 peratus atau 38,115 orang.

“Oleh itu, kementerian menerusi Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKPP) mengadakan program Outreach Vaksinasi Covid-19 khusus di daerah Pendang,” katanya ketika sidang media di Dewan Perumahan KEDA, Tanjung Setul, Jenun di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Sumber Manusia, Dato’ Seri M Saravanan dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Kedah, Dato’ Dr Mohd Hayati Othman.

Awang berkata, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu melibatkan petugas kesihatan seperti doktor perubatan dan jururawat di bawah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

Katanya, program itu turut mendapat kerjasama beberapa agensi kerajaan seperti Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), Jabatan Penerangan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kementerian berusaha membantu mempercepatkan proses vaksinasi dengan mengambil pendekatan turun padang bagi meningkatkan pendaftaran dan kesedaran kepentingan vaksinasi bagi membentuk imunisasi kelompok.

“Program ini telah dilaksanakan di beberapa lokasi lain daerah ini seperti Kampung Bukit Tegur, KEDA Lahar Tunjung, KEDA Asam Jawa dan KEDA Tanjung Setul,” katanya.

Beliau turut memaklumkan pihaknya juga merancang mengadakan program ini di beberapa daerah lain yang kadar vaksinasi masih rendah seperti Sik dan Baling.

Katanya, kementerian juga mencadangkan Kementerian Kesihatan untuk melanjutkan tempoh operasi Pusat Pemberian Vaksin(PPV) daerah Pendang dan beberapa daerah lain bagi memudahkan orang ramai mendapatkan suntikan vaksin.

“Usaha ini akan diteruskan, malah diperluaskan sebagai usaha untuk mempercepatkan Kedah beralih ke Fasa Dua Program Pemulihan Negara (PPN),” katanya. – HARAKAHDAILY 26/9/21

- Advertisement -