Kerajaan serius perkasakan Institusi Pendidikan Islam

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi perhatian serius terhadap pembangunan institusi pendidikan Islam dengan bukan hanya memberi bantuan kewangan, malah meningkatkan tahap profesionalisme keguruan serta kompetensi tenaga pengajar dan pentadbir.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Tuan Haji Idris Ahmad, berkata kerajaan memperuntukkan RM300 juta sejak tahun 2019 hingga tahun ini, bagi memperkasakan institusi pendidikan Islam di bawah penyelarasan Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (LEPAI) yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Agama Negeri.

Katanya, institusi berkenaan merangkumi Sekolah Agama Negeri (SAN), Sekolah Agama Rakyat (SAR), Sekolah Agama Swasta (SAS), institusi tahfiz dan pondok.

Advertisement

“Bantuan ini membolehkan kerja selenggara dan naik taraf infrastruktur yang keseluruhannya telah memberi manfaat kepada 3,654 buah institusi,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Ketika perbahasan sebelum ini, Ahli Parlimen Jerai, Sabri Azit, membangkitkan keperluan kerajaan memberi perhatian terhadap usaha memperkasakan SAR di negara ini.

Idris berkata, penubuhan sekolah agama di negeri-negeri tertakluk kepada Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam dan peraturan yang sedang berkuat kuasa di negeri berkenaan, dengan antara syarat pendaftaran sekolah adalah menubuhkan Jawatankuasa Pengelola Sekolah.

Sehubungan itu, katanya kerajaan mengalu-alukan cadangan menubuhkan Majlis Jemaah Pengelola Sekolah Agama Malaysia dan Dana Wakaf Sekolah Agama serta akan membuat penelitian sewajarnya terhadap perkara ini.

Katanya, kerajaan juga prihatin terhadap keperluan latihan kepimpinan pengurusan sekolah dan perguruan kepada sekolah tahfiz dan SAR bagi meningkatkan kecekapan pentadbir dan guru di institusi berkenaan.

“Kerajaan pada tahun 2019 menyediakan peruntukan RM4 juta bagi menyediakan latihan untuk meningkatkan profesionalisme dan kompetensi tenaga pengajar dan pentadbir di institusi pendidikan Islam di bawah penyelarasan LEPAI, merangkumi guru dan penyelia di Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA), SAN, SAR, Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN), Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) dan Tahfiz.

“Kursus merangkumi aspek pedagogi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP), pengurusan dan kepimpinan pendidikan, penyeliaan asrama, keselamatan dan kesihatan pekerjaan, latihan kompetensi serta kaedah pelaksanaan pemantauan secara berkala bagi menilai pengurusan dan kualiti PdP,” katanya.

Bagi menjayakan latihan ini, katanya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bekerjasama dengan empat buah agensi pelaksana latihan, iaitu Institut Aminudin Baki (IAB) dan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dari Kementerian Pendidikan Malaysia, serta Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) dan Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM).

Katanya, sebanyak 247 siri latihan berjaya dilaksanakan dengan penyertaan lebih 11,000 orang peserta.

Mengulas program latihan berkaitan tahfiz, katanya program dilaksanakan pada tahun 2020 melibatkan seramai 40 pengetua tahfiz bertujuan memberi pendedahan mengenai keselamatan dan kesihatan pekerjaan dalam mendepani situasi semasa pandemik.

Idris berkata, kerajaan juga mendengar pandangan Ahli Parlimen Dungun, Tuan Haji Wan Hassan Mohd Ramli, yang mencadangkan supaya diberikan bantuan secara one-off kepada guru tahfiz, guru pondok dan guru sekolah agama serta bantuan kepada sekolah yang terjejas dan bantuan perkapita pelajar.

Pada tahun 2020, katanya, kerajaan memperuntukkan bantuan secara one-off untuk sara hidup sebanyak RM800 seorang kepada guru di institusi pendidikan Islam berdaftar dan bantuan pengurusan operasi dengan peruntukan RM10 setiap murid warga negara untuk tujuan pengurusan institusi tersebut impak pandemik Covid-19,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga sentiasa berusaha memastikan institusi pendidikan tahfiz, pondok dan sekolah agama di negara ini kekal berdaya saing selari dengan pendidikan arus perdana.

“Sejak tahun 2017, Kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan khas secara one-off bagi tujuan selenggara dan naik taraf institusi pendidikan tersebut. Pada tahun 2021, kerajaan sekali lagi menyediakan peruntukan one-off bagi tujuan yang sama dan sehingga Ogos 2021, sebanyak RM60 juta disalurkan kepada 1,066 buah institusi yang layak.

Mengenai bantuan perkapita murid, katanya Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sepanjang tiga tahun lalu menyalurkan peruntukan one-off Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM100 kepada murid warga Malaysia dalam kalangan B40.

Katanya, kerajaan juga menyediakan peruntukan one-off bantuan per kapita pelajar tahfiz swasta pada tahun 2019 sebanyak RM120 seorang pelajar. – HARAKAHDAILY 23/9/21