Angkat keperluan nelayan sungai ke pihak berwajib

INDERA MAHKOTA: Golongan nelayan sungai tetap sama sekali tidak terlepas pandang di sebalik perhatian dan keprihatinan terhadap peranan serta kehidupan para nelayan laut oleh ADUN Beserah, Andansura Rabu.

Beliau sangat mengambil maklum dan sentiasa bersedia mencurahkan tanggungjawab terhadap para nelayan sungai sebagaimana nelayan laut di mana merupakan sebahagian penduduk di sini.

“Saya sudah kerap kali mengangkat perkara-perkara berkaitan kepentingan nelayan laut. Walaupun banyak perhatian dan kemudahan telah diberikan, masih ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian dan ditambah baik agar kebajikan mereka lebih terbela. 

Advertisement

“Manakala nelayan sungai pula kurang diberi perhatian dan kemudahan yang diperlukan,” ujar beliau mengangkat kepentingan para nelayan sungai ke Pejabat Perikanan Daerah Kuantan, di sini semalam.

Nelayan sungai merujuk kepada mereka yang bergantung kepada hasil tangkapan sungai sebagai sumber pendapatan di mana Andansura sedang mengaturkan pertemuan mereka dengan pihak-pihak berkaitan agar keperluan dan kebajikan diberi perhatian. 

Perkara berkaitan para nelayan tersebut dikemukakan beliau dalam pertemuan dengan pihak Pejabat Perikanan Kuantan yang turut dihadiri Ketua Daerah Perikanan, Ady Damini Mohd Hanif dan pegawai-pegawai pembantunya. 

“Saya berharap pertemuan yang sedang diatur akan membuka peluang yang lebih baik kepada para nelayan sungai untuk kelangsungan kegiatan mereka,” ujar Andansura yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang

Perikanan sungai antara lain menawarkan bekalan makanan seperti udang dan ketam kepada pasaran, malah ada yang berjaya beralih ke bidang ternakan hasil sungai dan industri akuakultur untuk meningkatkan hasil serta menjamin pendapatan lebih baik. – HARAKAHDAILY 23/9/2021