Warga emas pesakit buah pinggang disantuni PAS

- Advertisement -

KUALA KRAU: PAS DUN Kerdau telah mengadakan kunjungan ziarah dan menyerahkan sumbangan katil kepada seorang pesakit buah pinggang, Inshah Mahamud, 76 di FELDA J.23, di sini petang kelmarin.

Pemberian ini adalah dari syarikat Etiqa KRS Shazmin Resources sebagai khidmat kemasyarakatannya di mana pemberian ini bagi memberi keselesaan dan kemudahan untuk warga emas itu bergerak dengan lebih baik.

- Advertisement -

Inshah sebelum ini menghuni dan menjadi warga pondok selama tiga tahun di Kompleks Tahfiz Al-Quran Al-Qhardhawi (KOMTAQ) sebuah institusi tahfiz di Kuala Kerdau berhadapan Sungai Pahang.

Menurut anak beliau Azizan Abdul Razak merangkap Ketua Cawangan PAS Jengka 23, ibunya mula mendapat tahu mengenai penyakitnya pada pertengahan tahun lepas selepas pemeriksaan perubatan.

Beritahu beliau, setelah membuat pemeriksaan, agak memeranjatkan beliau bahawa penyakit buah pinggang ibunya sudahpun berada di tahap yang kelima.

“Keadaannya agak teruk bermula selepas raya haji baru-baru ini. Namun berterusan sehingga sekarang, bangun pun tidak larat, perlu diangkat dan apabila diangkat, ibunya terus tidak sedarkan diri.

“Makan pun tidak berselera menyebabkan badannya semakin susut dan sangat lemah kerana tiada tenaga,” kongsi Azizan menyatakan keadaan ibu kesayangannya itu.

Pengarah PAS DUN Kerdau, Saharuddin Salleh berkata, pemberian katil tersebut diharap memudahkan segala urusan ibu Azizan untuk bergerak dan dapat menjaga ibu dengan sebaiknya sementara hayat masih ada.

“Semoga Azizan menjadi anak yang soleh dan sentiasa sabar dan tabah dalam menjaga seorang ibu,” ujar Saharuddin.

Turut hadir dalam penyerahan tersebut ialah Timbalan Ketua Pemuda PAS Pahang, Ustaz Aireroshairi Roslan dan Ahli Jawatankuasa PAS DUN Kerdau, Abi Anas Umar Qayyam, Mohamad Khairul Hafiz Ahmad dan Abdul Basik Mohd Sarip. – HARAKAHDAILY 23/9/2021

- Advertisement -