Cabutan nombor ramalan bukan pilihan stabilkan negara

Kerajaan harus patuh larangan Allah

- Advertisement -

SAYA merujuk kepada jawapan bertulis daripada Menteri Kewangan, Dato’ Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz dalam Parlimen semalam yang memaklumkan bahawa pada tahun ini kekerapan membuat cabutan khas nombor ramalan telah meningkat kepada 22 kali pada tahun ini. Ia telah meningkat secara mendadak berbanding hanya 8 kali sahaja pada tahun 2020.

Perkembangan ini amat mengecewakan kepada kami selaku pimpinan dan ahli kepada Parti Islam Se-Malaysia (PAS) sebagai salah satu parti komponen untuk Kerajaan Persekutuan pada hari ini. 

- Advertisement -

Peningkatan kekerapan cabutan khas ini telah seolah-olah menzahirkan bahawa Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kewangan telah memberi lampu hijau dalam menggalakkan rakyat Malaysia dalam kegiatan tidak bermoral ini.

Selain ia telah dihukum sebagai haram di sisi agama Islam, ia jelas akan menyumbang kepada keruntuhan akhlak dalam institusi kekeluargaan dan masyarakat. 

Keprihatinan Kementerian Kewangan dalam hal ini amatlah diperlukan bagi memastikan amalan ini tidak akan berakar umbi kepada generasi akan datang.

Allah S.W.T telah berfirman yang bermaksud:

“Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan.

“Sesungguhnya syaitan itu hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu lantaran (meminum) khamar dan berjudi itu, dan menghalangi kamu dari mengingati Allah dan sembahyang; maka berhentilah kamu (dari mengerjakan amalan itu)”


(al-Maidah: 90-91)

Kementerian Kewangan juga ditekankan agar tidak menggunakan alasan atau justifikasi untuk menambahkan pendapatan negara melalui peningkatan kekerapan cabutan khas nombor ramalan ini. 

Biarpun realitinya, negara kita masih lagi bergelut keluar dari kegawatan ekonomi kerana pandemik COVID-19, namun negara kita secara fizikalnya masih lagi berkemampuan untuk mempelbagaikan inisiatif dan usaha untuk merancakkan ekonomi negara kita tanpa bergantung kepada sektor perjudian nombor ramalan ini semata-mata. 

Saya bagi pihak DUPP mendesak Kementerian Kewangan untuk mempertimbangkan semula untuk membenarkan peningkatan kekerapan cabutan khas nombor ramalan pada tahun ini sebagaimana yang telah diumumkan. 

Jangan dicemari usaha dan doa kita kepada Allah S.W.T agar dijauhi dari ujian Pandemik COVID-19 dengan membenarkan perkara mungkar ini.

Saya minta tindakan segera diambil dengan menamatkan sektor perjudian nombor ramalan dalam Keluarga Malaysia yang kita kasihi ini.

“Ulamak Perteguh Muafakat”
“Islam Memperkukuh Perpaduan”

YB USTAZ MOHD NOR HAMZAH
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 22/9/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/112140085517515/posts/4530659283665551/

- Advertisement -